Kisah Hans Steininger Yang Maut Lepas Tersadung Janggut Sendiri

Sebuah bandar kecil yang dikenali sebagai Braunau am Inn di Austria sering kali diingati ramai sebagai tempat lahir pemimpin Nazi, Adolf Hitler.

Namun begitu, pihak berkuasa bandar kecil ini lebih gemar sekiranya tempat tinggal mereka dikenali ramai untuk sebab yang lain seperti kisah Hans Steininger yang merupakan datuk bandar Braunau am Inn yang dibunuh janggut sendiri.

Datuk bandar Braunau am Inn

Hans Steininger merupakan datuk bandar Braunau am Inn pada tahun 1567. Meskipun tidak banyak yang diketahui mengenai latar belakangnya, Hans merupakan seorang yang agak terkenal di kawasan itu.

Selain popular dalam kalangan ramai kerana sikapnya yang baik, Hans turut dikenali ramai kerana mempunyai janggut yang sangat panjang sehingga mencecah hampir lima kaki.

Kebiasaannya, janggut panjang kebanggaan Hans ini akan digulung dan disimpan rapi di dalam sebuah poket kecil. Ini adalah kerana jika datuk bandar itu tidak berbuat demikian, janggutnya akan mencecah tanah dan berkemungkinan menyebabkan kemalangan yang tidak diingini.

Namun demikian, janggut kesayangan Hans Steininger ini adalah punca utama yang mengakibatkan lelaki ini terkorban.

Kebakaran di Braunau am Inn

Pada 28 September 1567, sebuah kebakaran telah tercetus di Braunau am Inn. Ketika sedang cuba untuk menenangkan penduduk bandar yang panik, janggut Hans Steininger telah terkeluar daripada tempat simpanannya.

Disebabkan keadaan agak kacau-bilau ketika itu, Hans tidak mengendahkan janggutnya yang panjang dan hanya menolak ia ke tepi.

Ketika sedang berdiri di atas tangga semasa kekecohan di bandar, Hans telah tersadung janggutnya sendiri. Insiden berkenaan menyebabkan datuk bandar itu jatuh berguling. Hans Steininger akhirnya meninggal dunia akibat patah leher.

Legasi Hans Steininger

Selepas datuk bandar berkenaan meninggal dunia, penduduk Braunau am Inn telah mendirikan sebuah monumen buat Hans yang dipamerkan di sisi Gereja St. Stephen.

Tidak cukup dengan itu, penduduk bandar Braunau am Inn juga bertindak memotong janggut panjang milik Hans dan meletakkannya di dalam sebuah bekas kaca untuk dipamerkan di muzium sejarah bandar.

Meskipun sudah lebih 450 tahun berlalu, janggut Hans Steininger yang sudah diawet itu masih dipamer di muzium sama dan sudah menarik perhatian ramai pelancong dari luar dan dalam negara untuk melawat bandar kecil Braunau am Inn.

Untuk membaca artikel lain berkaitan insiden aneh dalam sejarah, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca