10 April 1912

Michel Navratil, merupakan seorang tukang jahit yang berasal dari Slovakia sebelum menetap di Perancis. Dia membeli tiket kapal Titanic kelas kedua untuk tiga orang. Dia membawa bersama dua orang anak lelakinya yang masih kecil menaiki kapal bersejarah itu.

Namun Michel memalsukan nama mereka tiga beranak dengan menggunakan nama keluarga Hoffman dan mendakwa isterinya sudah mati.

Michel sebenarnya telah berpisah dengan isterinya, Marcelle Caretto kerana wanita itu curang dengan lelaki lain. Namun isterinya mendapat hak penjagaan anak-anak mereka.

Michel bertindak membawa lari dua orang anak itu tanpa pengetahuan bekas isterinya menuju ke Amerika beberapa hari sebelum kapal Titanic memulakan pelayarannya dari Southampton menuju ke New York.

Marcel (4 tahun) dan adiknya, Edmond (2 tahun) yang masih kanak-kanak ketika itu tidak mengerti apa-apa.

Dua beradik itu berasa sangat teruja berada di dalam kapal besar itu, mereka bermain bersama di dek kapal sambil melihat laut terbentang luas. Memori indah itu terpahat kukuh dalam kotak ingatan Marcel.

Sesaat pun Marcel dan Edmond tidak terlepas dari pandangan mata dan pengawasan si ayah kerana takut rahsia dan identiti sebenar mereka terbongkar.

14 April 1912

Pada suatu malam, Mitchel masuk ke dalam kabin tempat anak-anaknya tidur. Dia menyarungkan baju panas kepada Marcel dan memeluknya erat sebelum melakukan hal yang sama kepada si adik.

Suasana cemas menyelubungi kapal yang bakal karam itu. Si ayah menempatkan dua beradik itu ke dalam Collapsible D, satu-satunya bot keselamatan yang tinggal. Penumpang kelas pertama, wanita dan kanak-kanak didahulukan untuk menaiki bot-bot keselamatan yang tidak cukup itu.

“Anakku, bila ibu datang mencari kamu, beritahunya yang ayah masih sayangkan dia. Beritahunya lagi ayah sangat berharap yang dia dapat ikut kita, agar kita semua dapat hidup bersama dengan bahagia dan bebas di Dunia Baru.” teriak Mitchel kepada anak sulungnya, Marcel beberapa detik sebelum kapal itu tenggelam.

Itulah kali terakhir mereka melihat si ayah yang pergi meninggalkan mereka buat selama-lamanya bersama kapal itu.

Di dalam bot, dua beradik itu tertidur dan terjaga pada waktu pagi apabila mereka termasuk 700 penumpang lain diselamatkan oleh kapal Carpathia. Mereka merupakan satu-satunya kanak-kanak yang terselamat tanpa ditemani oleh ibu bapa dan penjaga.

Identiti dua beradik itu sukar dikenal pasti kerana mereka menggunakan nama samaran iaitu Lolo dan Momon.

Lagipun, mereka tidak tahu berbahasa Inggeris lalu seorang penumpang kelas pertama bernama Margaret Hays menawarkan diri untuk menjaga kanak-kanak malang itu di rumahnya di New York.

Selama sebulan, cerita dan gambar dua beradik itu terpapar di berdozen surat khabar. Berita itu sampai ke pengetahuan ibu mereka, Marcelle yang masih berada di Perancis.

16 Mei 1912

Dengan menaiki kapal White Star Line, Marcelle menyeberangi Lautan Atlantik menuju ke New York bagi mendapatkan semula anak-anaknya. Dia hampir gila apabila menyedari mereka ‘hilang’ dan syukurlah mereka selamat.

Akhirnya dua beradik itu bersatu semula dengan ibu mereka dan kembali ke Perancis.

Mereka meneruskan hidup sehingga alam dewasa. Edmond menjadi tentera dalam Perang Dunia Ke-2 dan meninggal dunia pada 1953 dalam usia 43 tahun.

Manakala Marcel, seorang profesor psikologi dan pemegang ijazah PhD dalam bidang falsafah meninggal dunia dalam usia 92, tahun 2001.

Sehingga tahun kematiannya, Marcel merupakan lelaki terakhir yang terselamat dalam tragedi kapal Titanic.

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda