Rumah agam bersejarah ini menjadi misteri kepada orang ramai sehingga kini kerana seni binanya yang aneh dan kisah di sebaliknya.

Meskipun ruang dalaman rumah ini kelihatan mewah, ada pengunjung yang mendakwa seolah-olah memasuki pagar sesat kerana ada terlalu banyak bilik, jendela pada setiap ruangan dan terdapat pintu menuju ke dinding.

Setiap rumah yang luar biasa pasti ada sejarahnya. Begini ceritanya:
Asal usul rumah ini
Projek pembinaan rumah ini bermula pada tahun 1884 di San Jose, California. Pemilik asal rumah ini adalah seorang janda kaya bernama Sarah Winchester.
Dia merupakan pewaris tunggal syarikat dan harta berkoyan-koyan peninggalan suaminya, William Wirt Winchester
Tragedi dalam hidup Sarah bermula apabila bayi perempuannya, Annie meninggal dunia. Tidak lama kemudian, suaminya pula meninggalkannya kerana penyakit tibi.
Sejurus selepas kematian suaminya, dia segera meninggalkan kediaman mereka di New Haven dan berpindah ke San Jose. Di situ, Sarah beli sebuah rumah ladang lapan bilik dan mula buat pengubahsuaian pada rumah itu selama hampir 40 tahun tanpa henti.
Wanita itu dikatakan begitu obsesi dengan pembinaan rumah tersebut. Dia melarang kerja pertukangan itu berhenti. Jadi selama 38 tahun, rumah itu tidak pernah sunyi dari bunyi hentakan penukul.
Wanita itu dipercayai buat begitu kerana mahu melarikan diri dan menenteramkan roh-roh orang mati dibunuh oleh William dan kumpulannya, Gun that Won the West.
Dia akan tidur di dalam bilik yang berbeza pada setiap malam dan mempunyai laluan rahsia dari bilik ke bilik agar hantu-hantu yang menghantui fikirannya itu sesat, keliru dan tidak dapat mengikutnya.
Jiran dan penduduk San Jose pula berbisik-bisik tentang kelakuan aneh Sarah yang suka memencilkan diri di dalam rumah agam itu.
Akhirnya rumah itu separa siap dengan 161 bilik, 10,000 tingkap dan 2,000 pintu. Pembinaan itu berhenti apabila Sarah meninggal dunia pada tahun 1922 dalam usia 82 tahun.
Loteng rahsia
Kemudian seorang pelabur telah membeli rumah tersebut dan buka kepada orang awam. Pada tahun 2016, sebuah loteng rahsia telah ditemui. Di dalamnya ada alat muzik organ, sofa era Victoria, pakaian, mesin jahit dan lukisan-lukisan.
Walaupun harga tiket masuk mencecah puluhan dolar, itu tetap tidak mematahkan semangat para pengunjung terutama penyiasat aktiviti paranormal bagi membuka ‘kunci’ setiap misteri di dalam rumah agam Winchester itu.
Ini ada trailer filem seram adaptasi daripada kisah ini