Niat Mahu Membantu Rakan, Ini Kisah Di Sebalik Inovasi ‘Tactile Paving’

Penulis: Muhamad Fazrin

Pernah lihat laluan ini di mana-mana? Nampak sinonim dengan masyarakat Malaysia, bukan?

Laluan ini dikenali sebagai tactile paving dan ia merupakan fasiliti yang amat penting bagi golongan cacat penglihatan. Fasiliti ini biasanya menjadi penunjuk arah dan memberi sedikit keselesaan serta kebebasan kepada golongan cacat penglihatan untuk meneroka dunia luar. Namun, tidak ramai yang mengetahui siapakah pencipta di sebalik inovasi bertaraf dunia ini.

Seiichi Miyake, seorang pencipta dan jurutera dari Jepun telah memulakan sebuah projek pada tahun 1965 dengan hanya berbekalkan modal sendiri. Projek ini pada awalnya bertujuan untuk membantu rakan karibnya yang mempunyai masalah penglihatan. Dalam projek ini, Miyake telah mencipta sepasang jubin yang dikenali sebagai blok Tenji yakni nama asal bagi tactile paving.

Blok Tenji dibina dengan menggunakan dua jenis corak utama; bintik-bintik kecil dan garis-garis selari. Setiap satu daripada corak-corak tersebut memberi indikasi yang berbeza.

Bagi corak bintik-bintik kecil, tujuan utamanya adalah untuk memberi signal kepada pengguna supaya berjaga-jaga dengan sebarang ancaman dan bahaya di hadapan. Corak ini biasanya dapat dilihat di kawasan bahu jalan dan juga tepi rel kereta api.

Manakala bagi corak garis-garis selari pula, ia berfungsi sebagai penunjuk arah untuk memudahkan perjalanan pengguna. Uniknya, kedua-dua rekaan ini mempunyai jalinan yang boleh dirasa melalui deria sentuhan sama ada dengan bantuan tongkat, anjing terlatih mahupun hujung telapak kaki.

Tanggal 18 Mac 1967 menjadi detik bersejarah apabila buat pertama kalinya blok Tenji dipasang di sepanjang laluan berhampiran Sekolah Orang Buta Okayama di bandar Okayama, Jepun.

10 tahun kemudian, atas sumbangan teknologi dan inovasi ini dalam soal keselamatan dan sebagai penunjuk arah, blok Tenji telah menjadi fasiliti utama dan wajib bagi Japanese National Railways, sebuah stesen kereta api Jepun yang hari ini dikenali sebagai Japan Railways.

Kini, blok Tenji berjaya menjadi fasiliti utama bagi golongan cacat penglihatan di peringkat global. Malah, pada tahun 2010, tarikh 18 Mac setiap tahun telah diiktiraf sebagai Hari Blok Tenji oleh Persatuan Cacat Penglihatan Wilayah Okayama bersama-sama dengan Persatuan Ulang Tahun Jepun.

Sebuah tugu peringatan juga telah dibina dan dipamerkan di persimpangan Haraoshima menuju ke Naka bagi memperingati ‘tempat kelahiran’ blok Tenji. Lagu rasmi bertajuk Shiawase no Kiroii Michi (Jalan Kuning Kebahagiaan) turut dicipta sebagai tanda menghargai jasa blok Tenji kepada masyarakat setempat.

Pada 18 Mac 2019, Google Doodle telah memberi apresiasi menerusi sebuah animasi pendek dengan watak seorang lelaki bertongkat berjalan di atas susunan blok Tenji bersama-sama seekor anjing pembantu.

Siapa sangka projek yang asalnya ingin membantu rakan karib sendiri bertukar menjadi salah satu fasiliti utama di seluruh dunia.

Artikel Lain Untuk Di Baca