Kisah Buaya Di Sungai Kesang Yang ‘Hormat’ Dan Tidak Pernah Baham Penduduk Kerana Satu Perjanjian

Rasanya semua pembaca di sini tahu betapa bahayanya haiwan yang bernama buaya ini. Kalau sebut sahaja sesebuah tempat itu ada sang bedal, pasti tiada siapa yang berani menjejakkan kaki di sana. Silap hari bulan, kenyang buaya itu nanti!

Namun begitu, terdapat satu kisah tentang buaya di Kesang Laut, Tangkak, Johor di mana ia dikatakan mempunyai hubungan baik dengan manusia. Macam mana boleh berbaik pula? Kononnya, pada suatu ketika dahulu, manusia telah membuat satu perjanjian dengan sang rangkak ini. Biar betul?

Reptilia itu telah wujud sekian lama di Sungai Kesang dan ia langsung tidak dianggap sebagai ancaman oleh penduduk di situ kerana ia tidak pernah mengganggu mereka. Terdapat kira-kira 100 ekor buaya di sungai itu dan ada di antaranyau dianggarkan berukuran lebih 2 meter.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Pengurusan Sumber Perikanan Kesang, Rosman Selamat, sang bedal itu tidak pernah menggusarkan nelayan setiap kali ke laut ekoran kelibat haiwan itu tidak pernah mengganggu penduduk.

“Sejak kecil lagi, kami memang mengetahui kewujudan buaya di sungai ini. Jadi apabila dewasa dan menjadi nelayan, ia seolah-olah menjadi sebati dalam kehidupan kami,” katanya.

“Malah, kami tidak pernah mendengar ada penduduk dibaham buaya. Buaya ini dah macam rakan kami. Berpuluh tahun kami bekerja, kelibatnya mesti muncul, namun dia tidak memberi ancaman,” ujarnya.

Menurut cerita daripada nenek moyang mereka, pada suatu ketika dahulu, nelayan pernah membuat satu perjanjian dengan buaya di mana sekiranya anak buaya itu tersangkut di jaring, mereka akan melepaskannya.

Sebagai balasan, buaya dewasa tidak akan mengganggu para nelayan yang menangkap ikan di situ. Rosman mengatakan bahawa sehingga sekarang, dia akan pesan kepada nelayan supaya melepaskan anak buaya yang tersangkut di jaring.

Malah, buaya di kawasan tersebut dikhabarkan ‘menghormati’ nelayan yang hendak ke laut. Buaya-buaya tersebut akan melarikan diri sebaik sahaja terdengar bunyi enjin bot. Kalau ikutkan, sepatutnya manusia yang lari apabila berjumpa dengan buaya. Tapi, terbalik pula jadinya.

“Kami juga tidak gerun setiap kali hendak pasang pukat kerana buaya ini tidak akan menghampiri kami,” katanya.

“Sebaik mendengar bunyi bot, dia lantas menghilangkan diri dan pergi ke tempat lain. Kelibatnya hanya akan timbul apabila kami mematikan enjin, namun buaya itu tidak datang dekat,” jelasnya.

Namun, semua ini adalah fenomena kira-kira 4 tahun lalu. Kini, segalanya telah berubah.

Tapak kaki buaya yang dapat dilihat dari kawasan persisiran Sungai Kesang, Tangkak bersempadan dengan Merlimau Melaka.

Sejak akhir-akhir ini, sang bedal di kawasan itu yang tadi pandai ‘menghormati’ para nelayan seakan-akan berubah ‘sikap’. Perubahan ‘sikap’ ini berlaku semenjak habitat lamanya di hulu Sungai Kesang telah musnah selepas kawasan tersebut terlibat dengan projek pengairan.

“Kalau dulu habitat mereka berada di hulu sungai ini dan kami mudah nampak kelibatnya di kawasan tersebut. Malah, kami juga pernah jumpa berpuluh-puluh biji telur buaya di kawasan berkenaan.”

“Kini tidak lagi selepas habitat itu musnah 4 tahun lalu menyebabkan kelibat buaya hanya dapat dilihat pada masa tertentu iaitu ketika berenang atau mencari makan. Tempat tinggal baharunya kini tidak lagi kami ketahui,” katanya.

Memandangkan reptilia itu kini sering berlegar hingga berdekatan dengan jeti akibat lupusnya habitat mereka, ramai yang bimbang dengan keadaan itu.

“Kalau dulu buaya ini berenang di kawasan tengah sungai antara sempadan Kesang dan Merlimau, Melaka.”

“Kini sejak habitatnya musnah, sang bedal ini berenang hingga ke kawasan jeti dan ia membimbangkan nelayan kerana ada antara kami yang akan turun ke tepi sungai untuk membasuh bot pada waktu petang,” katanya.

Papan tanda peringatan tentang kewujudan buaya kepada orang awam termasuklah pengunjung yang gemar beriadah di jeti berkenaan telah dipasang oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi memastikan keselamatan semua orang terjamin.

Walaupun ‘keluarga’ buaya itu dikatakan sering berlegar di kawasan jeti, setakat ini, tiada lagi kes penduduk atau pengunjung luar menjadi mangsa sang bedal itu.

“Haiwan ini tidak akan mengganas jika cukup makan dan mungkin kerana itu, buaya ini tidak pernah menganggu manusia,” kata Pegawai Daerah Tangkak, Abdul Alim Abd. Shukor.

“Keunikan fenomena ini sebenarnya boleh mendorong kaum nelayan menambah pendapatan jika mereka menyediakan perkhidmatan membawa penumpang menaiki bot.”

“Selain keunikan buaya di kawasan itu, pengunjung juga boleh didedahkan dengan aktiviti penangkapan kupang di sungai berhampiran. Saya percaya seandainya aktiviti ini dilakukan secara serius, ia pasti membawa hasil lumayan,” ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau turut menasihati para pengunjung agar sentiasa menjaga kebersihan sungai dan tidak mengganggu buaya-buaya berkenaan.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca