Seorang bekas ahli kumpulan kongsi gelap sebelum ini tidak pernah terlintas untuk memeluk Islam. Walau bagaimanapun, hidayah itu milik Allah dan dia langsung tidak menyangka bahawa pertemuannya dengan seorang individu bernama Adam di sebuah masjid di Alor Setar, Kedah telah ‘membuka jalan’ untuknya berbuat demikian.
Abdul Rahman Abdullah atau nama asalnya Chee Yin Wei memberitahu bahawa pertemuan singkat dengan insan bernama Adam itu berlaku sekitar bulan Julai tahun lepas. Ketika itu, dia sedang dilanda pelbagai masalah sekali gus menyebabkannya berada dalam keadaan tidak tentu arah.
“Saya berasa sangat tertekan disebabkan masalah rumah tangga, masalah hutang dan masalah gengsterisme saya sehinggakan saya telah masuk ke pekarangan masjid itu sebelum tanpa dijangka bertemu dengan Adam.”
“Saya kemudian menceritakan masalah saya kepada Adam dan selepas itu dia pelawa saya ikut solat Asar pada waktu itu. Meskipun saya bukan Muslim, saya turuti sahaja dan dia ajar saya berwuduk serta minta ikut pergerakan solat sahaja,” katanya.
Cerita Abdul Rahman, sepanjang mendirikan solat, hatinya berasa cukup tenang. Pada masa yang sama, dia juga berasa sangat sebak terutama sekali ketika bersujud kerana memikirkan segala perbuatan dan dosa yang pernah dilakukan pada masa lampau. Ia sekali gus membuatkannya memasang niat untuk memeluk agama Islam.
Abdul Rahman yang sebelum ini pernah bekerja sebagai tukang masak di Singapura mengatakan bahawa sebelum memeluk agama Islam, dia mengambil masa kira-kira dua minggu untuk membuat kajian dan memahami mengenai agama itu terlebih dahulu.
“Pada 7 Ogos tahun lepas, saya pergi menemui seorang imam di sebuah masjid di Jalan Pegawai, Alor Setar dan mengucap dua kalimah syahadah di hadapan ahli jawatankuasa masjid itu. Alhamdulillah, saya bersyukur dipilih terima hidayah tidak ternilai ini,” katanya.
Pada mulanya, ibunya memang tidak bersetuju dengan tindakannya memeluk Islam. Namun begitu, selepas diberikan penjelasan berkenaan keputusan yang dibuatnya itu, wanita tersebut dapat memahaminya dan kini sentiasa menghantarnya ke masjid setiap kali solat Jumaat.
“Walaupun dulu saya dipandang hebat, bengis dan hidup senang, namun saya tinggalkan semua itu dan memilih Islam sebagai pegangan akidah walaupun pada mulanya susah untuk meneruskan hidup kerana ditinggalkan rakan dan saudara-mara selepas bergelar Muslim,” katanya.
Menurut laporan Astro Awani, Abdul Rahman yang handal memasak kini mencari pendapatan dengan mengambil upah menyediakan hidangan bagi majlis kenduri dan jamuan untuk program-program yang dianjurkan agensi serta jabatan kerajaan.
Beliau juga merupakan salah seorang daripada 5,800 saudara baharu yang berdaftar di negeri Kedah dan masih mengikuti pengajian di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Alor Setar dan beberapa pusat pengajian lain yang dikendalikan Majlis Agama Islam Kedah (MAIK).