Apabila diajukan soalan tentang Muhammad Ali, dengan sombongnya Larry Holmes menjawab, “Jangan ditanya lagi pasal Muhammad Ali. Muhammad Ali sudah tidak wujud. Yang ada hanya cuma satu, Larry Holmes.”

Begitulah jawapan angkuh yang diberikan Larry Holmes apabila wartawan bertanyakan tentang Muhammad Ali sebelum perlawanan antara dua peninju ini berlangsung.

Tidak perlu diperkenalkan lagi siapa Muhammad Ali; seorang peninju berprofil tinggi yang pernah memegang gelaran World Heavyweight Champion dari tahun 1974 hingga 1978. Siapa saja yang tidak kenal atau tidak pernah dengar akan nama ini bukan?

Untuk perlawanan itu, Muhammad Ali dipertemukan dengan Larry Holmes selaku juara heavyweight ketika itu. Apa yang membuatkan perlawanan itu lebih menarik lagi, Holmes merupakan rakan sparring Ali suatu ketika dahulu. Dalam latihan, Muhammad Ali banyak mengajar Holmes segala macam teknik; baik bertahan mahupun menyerang.

Ia secara tidak langsung memberi kelebihan kepada Holmes kerana usianya yang jauh lebih muda daripada Muhammad Ali, selain beliau turut dapat mengetahui tentang kelemahan peninju yang terkenal dengan ungkapan ‘float like a butterfly, sting like a bee’ itu.

Tahun 1980 merupakan era kejatuhan Muhammad Ali di persada tinju antarabangsa. Jadi, sebagai penutup kariernya, beliau dipertemukan dengan Larry Holmes. Namun, 3 bulan sebelum perlawanan berlangsung, Muhammad Ali telah melakukan pemerikasaan di sebuah klinik selepas mengalami kesukaran untuk memegang objek selain percakapannya mulai tergagap yang seterusnya memberi petanda awal yang beliau mungkin menghidap penyakit parkinson.

Hari perlawanan akhirnya tiba menemukan dua jaguh sukan tinju. Di gelanggang, Muhammad Ali menjerit kepada Holmes, “Aku tok guru kau. Aku cikgu kau. Segala apa yang kau kecapi hari ni bermula daripada aku!”

Mengikut ramalan awal, pusingan pertama adalah sangat penting dan menjadi penanda aras penentu kejayaan Muhammad Ali. Namun seawal pusingan pertama ia sudah didominasi oleh Holmes. Muhammad Ali tak ubah seperti punching bag buat Holmes pada ketika itu. Beliau hanya mampu menadah dan bertahan daripada setiap serangan yang dilancarkan ke atasnya.

Ketika rehat pusingan set ke-3, doktor perubatan Muhammad Ali memutuskan yang beliau tidak dapat meneruskan lagi perlawanan ekoran simptom penyakit yang dihidapinya. Muhammad Ali hanya mampu melihat kain putih dicampakkan ke tengah gelanggang menandakan perlawanan sudah berakhir. Beliau terlalu sedih kerana itu merupakan perlawanan terakhir dalam kariernya.

Namun di satu sudut kaca televisyen, sepasang mata memerhati dengan penuh tekun perlawanan tersebut – seorang remaja yang pada ketika itu berusia 14 tahun dan dikenali dengan nama Mike Tyson.

Muhammad Ali pada ketika itu menjadi inspirasi kepada remaja berkulit gelap. Ketika dalam dewan, Mike Tyson dan rakannya telah menonton pita rakaman berjudul The Greatest Of All Time. Sebuah dokumentari yang menceritakan kejaguhan Muhammad Ali dalam sukan tinju.

Tamat menonton dokumentari tersebut, Mike Tyson dan rakannya yang lain terus berlatih dengan lebih bersungguh-sungguh untuk menceburi sukan tinju!

Selang sehari selepas perlawanan dengan Holmes, Muhammad Ali menerima satu panggilan daripada D’Amato, iaitu jurulatih kepada Mike Tyson.

“Macam mana kau boleh biarkan budak baru tu bantai kau? Dia bukan peninju yang sebenar, dan aku boleh kata yang dia tu tahap amatur sahaja.” pekik D’Amato di talian.

“Tapi kau jangan risau, Ali. Bersama aku sekarang ada budak sama macam kau. Dia budak lagi, tapi dia akan jadi juara heavyweight dunia! Nama dia Mike Tyson. Kau cakaplah dengan dia Ali.” jelas D’Amato sambil menyerahkan gagang telefon kepada Mike Tyson.

“Saya sedih bila dapat tahu apa yang terjadi kepada kamu,” ujar Mike Tyson di talian.

“Saya sakit,” jawab Muhammad Ali ringkas namun cukup menjelaskan segalanya.

“Jangan risau. Apabila saya besar nanti saya akan kalahkan dia untuk kamu.” janji Mike Tyson.

Setelah bertahun peristiwa itu berlaku, Mike Tyson memulakan debut pertama di gelanggang tinju. D’Amato telah menetapkan sasaran. “Kau mesti cuba sehabis baik dan rampas semula tali pinggang heavweight tu. Dia [Holmes] bukan siapa siapa pun pada kau.”

Pun begitu, D’Amato tidak sempat untuk menyaksikan kejayaan Mike Tyson. Beliau meninggal dunia pada tahun 1985. Tapi Mike Tyson tetap ingat akan matlamat yang telah ditetapkan untuknya.

Pada tahun 1988 Holmes telah dikalahkan oleh Spinks dalam kejuaraan heavyweight dunia melalui kiraan mata oleh juri dan pelbagai alasan telah diberikannya sejurus kekalahan kepada lawannya itu.

Pada usia 38 tahun, bagi mengakhiri kariernya satu perlawanan telah diatur dengan mempertemukan Holmes dan juara heavyweight dunia pada ketika itu iaitu Mike Tyson yang sebelum itu menewaskan Spinks. Di hadapan media, Holmes masih lagi bermulut lancang dengan memperlekahkan Mike Tyson dengan menyebut kisah silam Mike Tyson yang pernah menghuni pusat tahanan ketika usia remaja.

“Aku tak kisah pun siapa anak haram ni tapi dia perlu bersiap sedia.”

Hari yang ditunggu telah tiba. Perlawanan menemukan antara juara dunia dan bekas juara dunia di atas gelanggang dan ia merupakan pertemuan pertama buat mereka berdua. Pada hari itu juga perlawanan ini dihadiri ramai peninju ternama dunia dan yang paling penting ia turut dihadiri oleh Muhammad Ali!

Muhammad Ali yang menggayakan sepersalinan sut dan berkaca mata hitam diberi penghormatan dijemput ke tengah gelanggang bagi memberi semangat kepada kedua-dua peninju. Beliau bersalaman dengan Holmes dan kemudian bersalaman dengan Mike Tyson.

Ketika berjabat tangan dengan Mike Tyson, Muhammad Ali membisikkan sesuatu ke telinganya.

“Musnahkan dia, Mike!” Tyson mengangguk sambil matanya mengerling tajam ke arah lawannya itu.

Seawal pusingan pertama, Holmes diasak bertubi-tubi oleh Mike Tyson dengan kombinasi tumbukan satu-dua. Mike Tyson cukup dikenali dengan corak serangan yang agresif dan ternyata itu menyukarkan Holmes untuk bertahan. Kini Holmes pula seolah-olah menjadi punching bag buat Mike Tyson seperti mana yang pernah beliau lakukan kepada Muhammad Ali satu ketika dahulu.

Beberapa kali Holmes tumbang dek kerana tumbukan tepat yang dilepaskan oleh Mike Tyson ke arahnya. Namun beliau bangkit meneruskan perlawanan.

Seterusnya, tumbukan satu-dua serta upper cut menghentam dagu Holmes membuatkan dia rebah tidak sedarkan diri di tengah gelanggang. Pengadil memulakan kiraan. Bergema satu arena dengan kiraan oleh penonton. Tamat kiraan, Mike Tsyson berjaya menewaskan Holmes dengan TKO!

Ia adalah satu kejayaan yang sungguh bermakna buat Mike Tyson, dan juga kejayaan yang turut diraikan dengan penuh bangga oleh Muhammad Ali!

Saksikan sedutan rakaman perlawanan tersebut.

Tulisan oleh Shahrizat Ahmad.
Foto: Offtheclothboff
Sumber YouTube: Mike Tyson Avenged Muhammad Ali

Ingin penulisan anda dibaca oleh ribuan pembaca di portal ini? Emelkan karya anda ke shahrizatahmad[at]lejenpress.com. Karya yang layak akan disiarkan berserta kredit kepada penulis.