Kewujudan Paderi Tanpa Kepala, Ini Episod Kejadian Mistik Yang Berlaku Di St. Michael’s Institution

Nama St. Michael’s Institution (kini dinamakan Sekolah Menengah Kebangsaan St. Michael) memang tidak asing lagi bukan sahaja dalam kalangan penduduk di Ipoh malah di seluruh negara.

Selain berjaya mencipta nama dalam bidang akademik dan juga sukan, sekolah menengah yang kini berusia kira-kira 117 tahun itu turut terkenal sebagai sekolah paling berhantu di Malaysia.

Kisah-kisah tentang episod kejadian mistik yang berlaku di St. Michael’s Institution sering meniti dari bibir ke bibir masyarakat kita. Malah, ia juga sering dijadikan content baik di blog, media sosial dan juga rancangan televisyen.

Kata orang, sebelum kita bercakap soal sesuatu, kita perlu tahu asal usulnya terlebih dahulu. Menurut sejarah penubuhan St. Michael’s Institution, sekolah yang terletak berhadapan dengan Padang Ipoh ini dibina oleh dua orang mubaligh Kristian iaitu Father J.B. Coppin dan Father Visitor James Byrne pada tahun 1912.

Sekolah tersebut telah digunakan oleh tentera Jepun sebagai ibu pejabat mereka. Pada ketika itu, aktiviti penyeksaan terhadap tawanan perang telah dijalankan di sekolah berkenaan oleh tentera Jepun. Terdapat banyak terowong yang dibina untuk tujuan penyeksaan dan penyimpanan makanan.

Mungkin bertitik tolak daripada sejarah sekolah inilah yang mencetuskan kisah-kisah seram yang kerap diperkatakan hingga ke hari ini.

Terowong, gereja dan paderi tanpa kepala

Salah satu kisah yang cukup sinonim dengan St. Michael’s Institution adalah kisah terowong rahsia bawah tanah, gereja kecil serta penampakan lembaga tanpa kepala yang menyerupai paderi.

Menurut salah seorang alumni St. Michael’s Institution iaitu Muhammad Fakrul Radzi, sekolah ini mempunyai terowong yang boleh dikatakan agak seram. Terdapat beberapa pintu masuk ke terowong berkenaan namun ia sudah ditutup gara-gara kes kematian yang membabitkan seorang anak muda yang cuba menyelinap masuk ke terowong itu.

Punca kematiannya dikatakan sesak nafas. Ia mungkin ada kaitan dengan keadaan di dalam terowong itu sendiri yang sudah lama tidak digunakan. Boleh jadi juga udara di terowong itu tercemar.

Pelajar meninggal akibat kena sampuk

Kawasan terowong dan sebuah gereja kecil (chapel) di sekolah tersebut adalah tempat larangan bagi para pelajar. Mereka tidak dibenarkan pergi ke situ atas faktor keselamatan. Kisah mistik yang tersebar luas dalam kalangan mereka juga mungkin merupakan salah satu sebab mengapa larangan itu diwujudkan.

Gereja kecil yang bertempat di tingkat tiga bangunan sekolah itu memang cukup digeruni oleh sesiapa sahaja. Setiap kali melintasi gereja tersebut, Fakrul mengatakan bahawa dia sering berasa seolah-olah sedang diperhatikan sesuatu.

Sebelum ini, terdapat kes di mana seorang individu telah meninggal dunia akibat kena sampuk di gereja itu. Dia dipercayai menceroboh tempat itu dan terambil sesuatu di situ. Sebaik sahaja pulang dari sekolah, individu terbabit dikatakan terus demam dan kena sampuk sehingga menghembuskan nafas terakhir.

Tambah Fakrul yang menuntut di St. Michael’s Institution sejak tahun 2008 hingga 2012, gereja itu masih digunakan khusus buat aktiviti keagamaan yang membabitkan pelajar Kristian. Terdapat salah seorang rakannya yang mendakwa ternampak kelibat lembaga menyerupai paderi tanpa kepala di situ.

Episod kejadian mistik tular di laman sosial

Menurut Dinie Mohd Nor yang juga merupakan alumni sekolah berkenaan, kisah kejadian mistik di St. Michael’s Institution yang tersebar bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan sekali gus membuatkan sekolahnya kini dikenali ramai.

“Memang ramai yang pesan jangan dekat dengan terowong, tapi biasalah kami waktu itu masing-masing nak tahu apa yang ada di situ. Saya dengan kawan-kawan pernah ke situ, baunya cukup busuk dan ia sudah dipagari jeriji besi,” katanya.

Apa-apa pun, setiap tempat di atas muka bumi ini pasti menyimpan seribu satu sejarah. Dalam erti kata lain, setiap satu daripadanya mesti ada kisah masing-masing tidak kisahlah sama ada ia mistik atau sebaliknya. Selagi kita pandai jaga diri dan tidak langgar apa-apa peraturan di tempat itu, Insya-Allah kita akan sentiasa berada di bawah lindungan-Nya.

Anda ada pengalaman atau cerita berkaitan kejadian mistik untuk dikongsikan di portal I Am Lejen? E-mel kepada kami di [email protected]

Artikel Lain Untuk Di Baca