Kewujudan pasar pagi dalam kebun getah seluas kira-kira dua hektar di Kampung Kubang, Arau, Perlis sememangnya unik dan menarik minat orang ramai untuk membeli-belah.
Pasar atau lebih dikenali sebagai ‘nat’ oleh penduduk di utara yang dibuka setiap Ahad ini menjanjikan suasana ‘semula jadi’ yang nyaman dan redup.
Terdapat kira-kira 200 peniaga yang menjual pelbagai barangan keperluan harian bagi kegunaan masyarakat setempat.
Disebabkan keunikannya, pasar pagi ini juga bukan sahaja menjadi tumpuan penduduk sekitar Arau, tetapi menjadi tarikan pelancong yang ingin merasai suasana membeli di dalam kebun getah.
Seawal pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari, suara peniaga yang memujuk rayu, mempromosi serta memikat hati pengunjung jelas kedengaran.
Pelbagai barangan merangkumi hidupan laut dan sungai seperti ikan, udang, sotong serta ketam turut dijual di pasar tersebut.
Selain itu, buah-buahan, barangan antik, keperluan dapur, pelbagai jenis tekstil dan pakaian, malah turut terdapat telefon bimbit klasik yang sedia menanti untuk dibeli dengan harga yang berpatutan.
Beberapa peniaga yang ditemui berkata mereka masih membuat untung di pasar pagi itu walaupun masa berniaga pendek dan hanya sehari berniaga dalam seminggu.
Ini berikutan jumlah pengunjung yang datang ramai dan kebanyakan barangan yang ditawarkan adalah barangan keperluan dengan harga juga berpatutan.
Idea untuk menghidupkan pasar itu dicetuskan oleh pemilik kebun getah, Abas Che Mat, 87.
Selepas beberapa tahun beroperasi, pasar itu berjaya menghimpunkan lebih 300 orang peniaga.
Malah, kadar sewa yang dikenakan kepada peniaga adalah sekitar RM1.50 hingga RM4.
Pengunjung juga berasa selesa untuk membeli-belah di situ kerana kawasan yang redup dan tidak panas.
Sumber: Kosmo
Sumber featured image: kisahtatie