Ketuk Ketampi Dan Bantai Guna Cota, Ini Hukuman Diberikan Polis India Buat Yang Ingkar PKP

Mungkin kedengaran lucu namun pihak berkuasa di Maharashtra, India mempunyai cara tersendiri untuk menghukum orang awam yang melanggar perintah berkurung negara itu.

Menurut laporan, sepasukan polis yang meronda di jalan-jalan di negara itu masih menemui orang awam yang ingar perintah berkenaan yang dilakukan untuk membendung penularan wabak Koronavirus baharu (COVID-19).

Menerusi satu rakaman video, polis di daerah berkenaan mengarahkan beberapa orang awam yang ditangkap berkeliaran di jalanan untuk berdiri dalam separuh bulatan sebelum mereka disuruh untuk melakukan ketuk ketampi.

Rakaman video yang dikongsikan ke laman sosial Twitter itu kini berjaya meraih lebih 243,000 tontonan dan beberapa komentar daripada warganet yang rata-ratanya memuji cara pasukan Polis Maharashtra dalam mendidik masyarakat secara berhemah.

Dalam pada itu, pendekatan lebih agresif pula digunakan oleh pihak berkuasa di New Delhi, Mumbai dan Kerala.

Menerusi beberapa video yang tersebar di internet, pegawai polis dilihat menunggang motosikal sambil memukul orang awam yang ingkar perintah berkurung dengan menggunakan cota dan kayu.

Sebahagian daripada polis berhenti menunggang dan memukul orang awam yang masih duduk di atas motosikal serta skuter masing-masing.

Walau bagaimanapun, segelintir pihak beranggapan tindakan pihak berkuasa itu dilihat agak melampau dan memaparkan keganasan polis.

Sementara itu, di beberapa kawasan lain pula, ada pihak polis yang menggunakan hukuman kurang melampau seperti mengarahkan orang awam yang ingkar perintah untuk melakukan tekan tubi serta membongkok sambil kepala mereka berada di antara dua kaki.

Buat pengetahuan, India telah melaksanakan perintah berkurung selama 21 hari semenjak 25 Mac lalu dengan Perdana Menteri Narendra Modi mengarahkan kawalan pergerakan antara jam 7 pagi sehingga 9 malam.

Untuk membaca artikel lain berkaitan wabak COVID-19, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca