Ketua Polis Perlis: Polis Trafik Berhak Keluarkan Saman Dalam Kawasan Sekolah

Anggota polis trafik berhak untuk mengeluarkan saman kepada individu yang melakukan kesalahan di dalam kawasan sekolah memandangkan ia adalah atas permintaan daripada pihak sekolah.

Datuk Surina Saad.

Menurut Ketua Polis Perlis iaitu Datuk Surina Saad, polis trafik boleh menjalankan tugas mereka di mana-mana sahaja kerana itu merupakan tugas dan dalam bidang kuasa polis setelah mendapat kebenaran daripada pihak pengurusan sekolah.

“Sebenarnya kami telah dijemput datang ke sekolah dan buat program advokasi kepada para pelajar sekolah terlebih dahulu,” kata Surina.

“Selepas itu, barulah kami akan datang ke sekolah untuk buat operasi melalui Op Didik. Tidak sewenangnya terus buat operasi dan saman,” katanya lagi kepada Bernama selepas melancarkan Liga Bola Sepak PDRM Kontinjen Perlis di Kompleks Sukan Syed Areeb Putra, Universiti Malaysia Perlis, Pauh Putra pada Selasa. 

Surina berkata demikian semasa diminta untuk mengulas isu yang tular di media sosial berkenaan anggota polis trafik menjalankan operasi menyaman pelajar di dalam kawasan sekolah di mana perkara itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati beberapa ibu bapa yang beranggapan bahawa ia menyalahi undang-undang.

Tambah Surina lagi, terdapat sebanyak lima buah sekolah terpilih bagi program itu di Perlis dan operasi cuma dijalankan selepas program advokasi selesai. Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan butiran kesemua sekolah berkenaan.

“Lebih 60 saman dikeluarkan dan kebanyakannya adalah kesalahan tidak mempunyai lesen memandu, termasuk saman terhadap pemilik kenderaan.”

“Saman yang kita keluarkan adalah lebih kepada mendidik ibu bapa tentang pentingnya anak-anak mereka mempunyai lesen memandu terlebih dahulu,” ujar Surina.

Sebelum ini, kami pernah kongsikan 12 tips pandu cermat jiwa selamat. Anda boleh klik pada pautan di bawah untuk baca artikel tersebut:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca