Ketua Polis Negara Nasihatkan Warganet Untuk Jaga Tutur Kata

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengingatkan warganet untuk sentiasa jaga tutur kata apabila berkongsi pandangan di laman sosial berkaitan dengan situasi politik negara.

Memetik laporan Bernama, Abdul Hamid berkata bahawa semua pihak perlu menjaga perlakuan dan bijak dalam melontarkan pendapat supaya ia tidak melanggar undang-undang sekali gus tidak menjejaskan keselamatan dan keamanan negara.

Jelasnya, “Saya dapati perdebatan (situasi politik negara) di dalam media sosial begitu hangat sekali. Saya juga mendapati suhu perdebatan ini semakin meningkat.”

Tambahnya, “Oleh itu, saya ingatkan kepada semua pihak sekali lagi agar menjaga tindakan dan berhujahlah dengan penuh kewarasan agar orang ramai tidak gusar.”

Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa menghormati hak semua pihak untuk mengutarakan pandangan dan menjalankan aktiviti politik selagi tidak mengancam keamanan dan ketenteraman negara.

Abdul Hamid berkata, “Saya memberi amaran terhadap usaha membabitkan elemen luar negara untuk masuk dan menghuru-harakan keadaan.”

Tambahnya, “Cubaan dan perbuatan sebegini pasti akan ditangani dengan sekeras-kerasnya kerana ia menepati ciri-ciri pengkhianatan terhadap negara.”

Ketua Polis Negara itu turut menegaskan bahawa proses pembentukan kerajaan baharu masih berjalan dengan aktifnya mengikut perlembagaan negara.

Tegasnya, “Orang ramai perlu bersabar sedikit masa lagi. Insya-Allah PDRM sentiasa bersedia dan memberi jaminan bahawa proses pembentukan kerajaan tidak diganggu gugat oleh mana-mana pihak.”

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan kemelut politik negara, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca