Ketahui Tips Penjagaan Tudung Agar Tidak Rosak

Setiap wanita pasti pernah menghadapi masalah dalam penjagaan tudung. Ada yang rosak bila dicuci, tak kurang juga yang warna menjadi pudar.

Penyimpanan dan penjagaan tudung bergantung pada jenis kain. Terdapat jenis fabrik yang lembut seperti chiffon yang memerlukan penjagaan lebih rapi.

Perkara ini benar-benar membuatkan kaum wanita berasa tertekan sehingga mereka berhabis duit untuk membeli tudung baharu.

Jangan risau, di sini terdapat beberapa tips yang boleh dipraktikkan agar tudung kekal sempurna buat gadis yang berhijab.

1. Jangan ramas tudung ketika mencuci

Ketika anda mencuci tudung, jangan diramas dengan kuat. Cara ini boleh menyebabkan benang pada fabrik terputus lalu merosakkan tudung anda.

Tindakan yang tepat adalah cukup dengan mencelup dan mengangkat tudung beberapa kali sehingga bersih. Jika terdapat kotoran, boleh digosok pada bahagian tersebut dengan perlahan sehingga kotoran hilang.

2. Rendam tudung kurang dari 15 minit

Selepas mencelup dan mengangkat beberapa kali, rendamkan tudung di dalam campuran air bersama pelembut selama 10 ke 15 minit. Kemudian, bilas tudung tersebut bersama air bersih.

Cukup sekadar jemur tudung anda di kawasan yang redup dan bukan di bawah sinaran matahari yang terik. Ia boleh merosakkan dan memudarkan warna tudung. Elakkan juga jemur tudung terlalu lama.

3. Elakkan membasuh tudung menggunakan mesin basuh

Membasuh tudung dengan mesin basuh boleh meregangkan fabrik tudung anda. Tekanan kuat pada mesin basuh tidak sesuai dengan material tudung anda. Sebaiknya cuci dengan tangan.

Jangan sesekali mencuci tudung anda yang mempunyai manik dengan menggunakan mesin basuh.

4. Gosok pada suhu yang sesuai

Terdapat banyak jenis tudung daripada berlainan fabrik. Jadi anda harus tahu suhu yang sesuai dengan fabrik tudung anda.

Jangan menggunakan suhu yang terlalu panas ketika menggosok untuk mengelakkan tudung terbakar.

5. Asingkan tudung anda daripada pakaian lain

Sebaiknya, jangan basuh tudung anda bersama pakaian yang lain. Ini boleh menyebabkan warna pada tudung anda luntur.

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan tips, anda boleh klik pada pautan di bawah :

Artikel Lain Untuk Di Baca