Ketahui Bagaimana Anjing Yang ‘Bekerja’ Sebagai Polis Dilatih Untuk Mengesan Dadah

Ramai orang yang bukan beragama Islam gemar untuk membela anjing sebagai haiwan peliharaan selain daripada kucing. Barangkali kerana anjing adalah haiwan yang taat selain daripada memiliki personaliti yang mampu mencuri hati tuannya. Anjing juga sering dijadikan haiwan yang membantu pihak polis untuk mencari atau mengesan dadah. Tetapi tahukah anda terdapat langkah-langkah untuk melatih anjing ini?

Baka anjing yang selalunya menjadi kegemaran polis ataupun penyiasat ialah baka German Shepherd dan Beagle. Deria bau kedua-dua anjing ini amat kuat dan luar biasa berbanding baka-baka yang lain. Baka anjing ini juga boleh dilatih dengan latihan dan cara yang betul. Jadi, tidak hairanlah sekiranya anjing digunakan oleh pihak polis dan skuad forensik di Malaysia mahupun di luar negara.

Anjing ini bukan dilatih oleh sebarangan orang, tetapi mereka dilatih oleh individu yang pakar dan juga berpengalaman. Yang kita lihat di kaca televisyen selalunya anjing ini ditugaskan untuk mengesan dadah, tetapi mereka juga dapat mengesan bahan letupan, senjata api, wang yang disembunyikan dan banyak lagi.

Ayuh kita lihat beberapa langkah untuk melatih anjing bagi tujuan mengesan barang-barang yang dikehendaki:

Langkah 1

Anjing akan dilatih terlebih dahulu untuk bermain dengan bola ataupun tuala. Pandangannya tidak diganggu dengan objek lain yang berada berdekatan dengan persekitarannya. Anjing ini akan dilatih sehingga dia benar-benar tertarik atau minat dengan permainan yang diberikan.

Langkah 2

Seterusnya, anjing akan dilatih untuk menangkap barang atau permainan yang diberikan. Proses ini dilakukan berulang kali sehingga anjing mahir dan berjaya membawa permainan tersebut kepada pelatihnya. Maka, anjing ini akan bersedia untuk langkah yang ketiga.

Langkah 3

Langkah yang berikut adalah dengan menyembunyikan permainannya di dalam kotak ataupun beg diiringi dengan ‘bau’ yang dikehendaki. Sebagai permulaan, ia dimulakan dengan satu jenis bau sahaja sebelum memperkenalkan anjing itu kepada bau lain. Untuk kesan yang lebih efektif, sedikit dadah (dalam kuantiti yang sangat sedikit dan tidak berbahaya kepada anjing tersebut) akan diletakkan di sekitar permainannya.

Langkah 4

Anjing akan dibiarkan untuk membiasakan diri menghidu bau permainannya itu. Apaila ia faham apa yang perlu dilakukan, anjing itu akan dilatih untuk duduk sebagai tanda yang dia telah mengesan barangan tersebut.

Bergantung kepada personaliti yang dimiliki anjing tersebut, lebih senang untuk arahkan supaya ia baring ataupun menyalak. Tetapi kebanyakan ‘signal’ yang digunakan untuk anjing adalah dengan memberikan arahan duduk.

Langkah 5

Sejurus anjing tersebut berjaya mengesan dadah itu dan mula duduk seperti yang dilatih (memberi tanda ataupun signal bahawa dadah telah dikesan), bola akan diberikan kepadanya sebagai ganjaran atas penemuannya.

Langkah 6

Dari masa ke masa, dadah tersebut akan disembunyikan di tempat yang lebih susah untuk dijumpai. Langkah ini akan diulangi sehingga anjing tersebut semakin mahir dan cekap. Selepas ia mengesan sesuatu, pujian dan hadiah akan diberikan setiap kali ia berjaya melakukan tugasan tersebut.

Jadi, inilah cara bagaimana anjing dilatih untuk mengesan dadah sekiranya ada penyeludupan dari luar negara ataupun sindiket yang berlaku. Oleh itu, kita harus menghargai dan menghormati kelebihan anjing walaupun kita sebagai umat Islam tidak dibenarkan untuk membelanya kecuali atas sebab-sebab yang tertentu.

Penulis

  • Syafinaz Syafiqah Rozaidi adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

Artikel Lain Untuk Di Baca