Ketahui 7 Makanan Harian Yang Boleh Merosakkan Buah Pinggang Anda

Buah pinggang merupakan organ dalaman yang penting dalam tubuh manusia. Ia terletak di kedua ruang tulang belakang anda dan di belakang tubuh pada aras pinggang. Buah pinggang berperanan utama untuk mencuci darah daripada sisa buangan dan lebihan air yang diperlukan tubuh. Sisa dan air yang berlebihan akan ditapis semasa darah melalui buah pinggang.

Namun sedarkah anda jika buah pinggang tidak dijaga dengan baik ia akan rosak dan mula menunjukkan simptom kaki bengkak, mudah merasa lelah, anemia, tekanan darah tinggi dan lain-lain simptom. Ketahui tujuh makanan harian yang boleh memudaratkan buah pinggang anda jika diambil secara berlebihan.

1. Alpukat/Avokado

Umum mengetahui bahawa buah alpukat atau avokado terkenal dengan pelbagai khasiat seperti mengandungi lemak baik. Namun, jumlah yang terlalu banyak akan mendatangkan mudarat dan lebih teruk lagi jika seseorang itu memang sudah mempunyai penyakit buah pinggang. Kadar kalium yang sangat tinggi dalam buah alpukat boleh menyebabkan masalah kekejangan dan degupan jantung yang tidak menentu. Badan kita sebenarnya memerlukan mineral tetapi kehadiran kalium yang berlebihan dalam darah boleh mendatangkan bahaya kepada buah pinggang.

2. Daging

Daging merupakan antara makanan yang paling lengkap daripada segi nutrisi. Akan tetapi, protein daripada daging agak sukar untuk diproses sehinggakan penghapusan bahan buangan ini membebankan buah pinggang. Malah, pengamalan diet protein haiwan juga boleh menyebabkan batu karang. Jumlah purin yang tinggi boleh merangsang penghasilan asid urin yang menjadi salah satu punca batu ginjal.

3. Garam

Jumlah maksimum garam yang diperlukan untuk diet sihat adalah sebanyak 2,300 miligram sehari atau kira-kira satu sudu teh. Pengambilan garam yang banyak menyebabkan buah pinggang terpaksa bekerja lebih keras untuk menghilangkan lebihan natrium dan mula bertindak mengekalkan air yang boleh menyebabkan tekanan darah tinggi. Untuk elakkan kandungan garam yang tinggi, anda tidak disarankan mengambil makanan yang diproses dan dibungkus seperti sup atau sayur-sayuran tin dan sayuran beku.

4. Pisang

Pisang merupakan salah satu makanan yang mengandungi kadar kalium yang tinggi dan boleh membahayakan pesakit buah pinggang. Pengambilan buah pisang perlu dihadkan. Kira-kira 3,500 hingga 4,700 miligram kalium setiap hari sahaja diperlukan untuk orang dewasa dan pisang bersaiz sederhana (150g) sudah memadai dengan 537 miligram kalium. Bagi pesakit buah pinggang, mereka perlu mengurangkan jumlah kalium dengan kuantiti yang sangat rendah. Jumlah kalium yang banyak menyebabkan tubuh tidak dapat menapis makanan dan membawa masalah yang lebih serius.

5. Produk tenusu

Produk tenusu seperti susu, yogurt dan keju juga boleh memberikan tekanan kepada buah pinggang. Kerana jumlah fosforus di dalam produk tenusu boleh mengakibatkan organ tersebut tidak dapat berfungsi dengan baik. Buah pinggang tidak boleh menyahkan fosforus tambahan daripada darah dan menyebabkan tulang menjadi nipis dan lemah daripada masa ke masa. Ia boleh membawa kepada risiko patah tulang.

6. Roti gandum

Roti gandum menjadi pilihan utama kepada sesiapa yang ingin menurunkan berat badan dengan cara menjaga pemakanan kerana ia sangat sihat dan berkhasiat. Namun, roti gandum tidak digalakkan kepada pesakit buah pinggang kerana jumlah fosforus dan kalium yang tinggi di dalamnya. Sekeping roti gandum sahaja mengandungi 70 miligram kalium dan 57 miligram fosforus berbeza pula dengan roti putih yang hanya mempunyai 25 miligram setiap satu.

7. Buah dan jus oren

Kedua-dua bahan ini juga mengandungi kadar kalium yang tinggi. Sebiji oren bersaiz sederhana mengandungi 240 miligram kalium manakala secawan jus oren adalah kira-kira 470 miligram. Oleh itu, pengambilan kedua-dua bahan ini perlu dihadkan jika buah pinggang anda kurang berfungsi dengan baik.

Oleh itu, kita perlulah mula mengawal kuantiti makanan yang diambil untuk ke arah kehidupan yang lebih sihat. Pengambilan makanan harian yang secara seimbang boleh membantu mengurangkan risiko kerosakan buah pinggang.

Penulis:

  •  Nurfatihah Binti Mohamad Raya adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Sebelum ini, kami ada kongsikan 8 makanan harian yang mampu mencegah kanser. Untuk baca artikel penuh dan artikel-artikel lain, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca