Bagi mereka yang tidak suka kucing atau alahan terhadap bulu kucing, mesti mereka berasa rimas kalau didatangi haiwan tersebut. Tetapi, sedar atau tidak sebenarnya haiwan tersebut tersangatlah comel. Namun, pernah tak kita terfikir kenapa kucing kerap mendatangi diri kita? Apakah yang cuba disampaikan oleh Tuhan kepada kita?
Anda juga perlu tahu yang setiap kejadian alam mempunyai dua makna, yang tersurat dan tersirat. Beruntunglah mereka yang boleh memahami kedua-dua maknanya. Ini termasuklah dalam perkara mengenai kucing. Apakah makna yang tersirat jika kucing datang kepada kita? Mari kita renungkan bersama.
Antaranya adalah:
1. 10 Kali Ganda Kebaikan/Ganjaran
Seperti apa yang kita tahu sebelum ini, sedekah itu ada dalam pelbagai bentuk dan rupa. Apabila kucing datang kepada kita dan meminta sedikit rezeki lalu kita menghulurkan kepadanya, maka kita telah berbuat kebaikan kepadanya dan bersedialah untuk menerima 10 kali ganda kebaikan dan ganjaran dari Tuhan sebagai balasan pada perbuatan baik tersebut.
Itu janji-Nya kepada mereka yang bermurah hati menyantuni makhluk yang lain. Tidakkah kita akan berasa gembira apabila menerima hadiah yang indah? Maka apabila Tuhan semesta alam sendiri yang memilih untuk memberikan kita hadiah yang 10 kali ganda jauh lebih baik, bukankah itu suatu yang mengujakan?
2. Belajar Ihsan
Kadangkala kucing yang mendekati kita itu akan merimaskan. Boleh jadi naik geram kita dibuatnya. Apabila situasi ini yang terjadi maka beringatlah bahawa Allah swt menghantar kucing itu sebenarnya untuk menguji kita. Mungkin ujian tersebut adalah untuk melihat sejauh mana layanan kita kepada sesama makhluk.
Sedarlah apabila kucing datang meminta makanan, kucing itu tidak meminta ikan yang baru digoreng. Kucing itu tidak meminta pinggan yang cantik untuk dihidang makanannya. Cuma yang diminta adalah sedikit sisa makanan yang tidak habis dimakan.
Maka, inilah ilmu ihsan. Ilmu tentang mampu mengingati Tuhan dalam setiap kata-kata, tindakan, fikiran mahupun emosi. Ilmu tentang melakukan sesuatu dengan ingatan kuat bahawa Tuhan sentiasa melihat dan sangat hampir. Namun, tiada satu pun dapat bersembunyi dariNya.
3. Belajar Ikhlas
Allah SWT membimbing dan mendidik manusia melalui kehidupan dan alam. Besar keistimewaannya pada orang yang didekati kucing kerana melaluinya manusia boleh belajar ilmu ikhlas. Kenapa ikhlas? Adakah kucing itu mempunyai wang ringgit bagi membalas kebaikan yang diberikan? Mampukah kucing itu meninggikan darjat dan memberikan pangkat kepada orang yang memberinya makan? Tentu sekali tidak.
Maka tanpa apa-apa balasan yang dapat diharapkan dari kucing, tindakan yang tetap terus berbuat kebajikan kepadanya akan mendidik jiwa kita untuk menjadi manusia yang ikhlas.
4. Kurniaan Rezeki Yang Berpanjangan
Mesti kita pernah lalui di mana ada kucing yang tiba-tiba datang ke rumah kita? Tanpa segan silu kucing itu masuk ke rumah kita dan seolah-olah dirinya sudah menjadi sebahagian daripada keluarga kita. Lalu dia turut bertindak seperti penghuni tetap di rumah itu. Disuruh pergi namun tetap tegar kembali. Usah anda berasa rimas, tetapi bergembiralah kerana anda terpilih untuk mendapatkan kurniaan rezeki yang berpanjangan dari Tuhan.
Namun, dari mana datangnya rezeki ini? Apabila kucing itu tinggal tetap, ini bermakna peluang bersedekah melalui asbab kucing itu telah dibuka setiap hari untuk kita. Sedekah yang berterusan mengundang rahmat Allah swt yang menjadikan rezeki itu melimpah ruah.
5. Bahagian Kucing
Perkara ini mesti selalu terjadi kepada anda apabila duduk di warung sambil makan, pasti ada kucing jalanan yang menagih simpati. Ya, kucing itu mungkin nampak kotor dan comot. Namun, siapakah kita untuk memandang jelik makhluk Allah SWT itu? Kehadiran kucing itu menyampaikan pesanan yang jelas dari Tuhan. Percayalah, dalam ketika kita enak menjamu selera mungkin kita terlupa mensyukuri nikmat Tuhan.
Maka kerana itu Allah SWT menghantar kucing kepada kita agar kita sentiasa beringat bahawa setiap rezeki yang dikurniakan itu bukan 100% milik mutlak kita. Sebahagiannya milik orang lain atau makhluk lain. Maka berbagilah rezeki itu juga kepadanya. Semoga dengan memberi, kita menjadi hamba yang sentiasa bersyukur.
Jadi selepas ini jika kita didekati kucing berbaik sangkalah kepada Tuhan kerana agenda rezeki kita dari Tuhan itu lebih baik dari perancangan kita sendiri. Dan mungkin kehadiran kucing itu menjadi kunci kepada turunnya rezeki di dalam hidup kita.
Sumber: Tazkirah