Peminat K-Pop pasti sudah terbiasa dengan penyanyi berkumpulan, Bangtan Boys atau lebih sinonim dengan panggilan BTS.
Sejak penubuhan kumpulan tersebut pada tahun 2013, BTS berjaya menarik perhatian peminat industri hiburan Korea dari seluruh dunia sehingga meraih kejayaan besar.

Menelusuri akaun Instagram penyanyi berkumpulan BTS, jumlah pengikut mereka adalah seramai 16 juta orang. Hebat, bukan? Maka, tidak hairanlah sekiranya nama BTS menjadi kegilaan ramai.
Namun, yang menjadi persoalan adalah apakah sumbangan atau perbuatan penyanyi berkumpulan ini sehingga dijadikan idola masyarakat kini?
Berikut penulis kongsikan 3 sebab mengapa BTS digilai ramai:
1. Kreatif dalam menghasilkan lagu

BTS menjadi kegilaan di seluruh dunia kerana mereka sangat bijak dalam mencipta lagu sendiri. Kelebihan ini secara tidak langsung membuktikan bahawa ahli BTS bukan sahaja boleh bernyanyi dan menari, malah kreatif dalam menulis lagu.
2. Peka dengan isu sosial

Tidak hanya kreatif menghasilkan lagu, namun BTS juga berani mengangkat isu-isu sosial dalam lagunya dengan menimbulkan isu sosial menerusi lirik yang ditulis.
Antara isu sosial yang pernah dibincangkan atau diselitkan dalam lagu mereka adalah pembulian, kesihatan mental, bunuh diri dan pemerkasaan golongan wanita.
Kepekaan dan kebimbangan BTS terhadap isu sosial sangat dihargai pada pandangan dunia sehingga mereka menjadi duta UNICEF.
3. Pencapaian anugerah di peringkat negara dan antarabangsa

Sepanjang penglibatan kumpulan ini dalam industri hiburan selama enam tahun, BTS telah berjaya merangkul beberapa anugerah, antaranya ialah Album of the Year sewaktu Anugerah Muzik Melon 2016 dan Anugerah Muzik Billboard.
Ternyata, mereka bukan sahaja popular kerana rupa paras dan kelebihannya dalam membuat persembahan.
Namun, apa yang menjadikan mereka semakin digemari ramai adalah personaliti kumpulan ini dalam membentuk minda masyarakat agar terus peka dengan isu sosial menerusi gubahan lagu.
Penulis
- Nik Nur Sabrina Binti Mohd Hasrin adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
- Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jalinan Industri, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
Untuk membaca artikel yang menyentuh topik atau isu yang berkaitan dengan penyanyi berkumpulan BTS, sila klik pada pautan di bawah: