Pada zaman sekarang terdapat pelbagai jenis produk untuk kesihatan, kosmetik, suplemen dan sebagainya yang dijual di pasaran. Tetapi, adakah anda tahu produk tersebut mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ataupun tidak? Hal ini kerana, kebanyakan produk-produk yang dijual atau dipamerkan di kedai-kedai jamu tidak mendapat kelulusan daripada pihak KKM.
Bimbang akan berlakunya perkara yang tidak diingini, Public Health Malaysia mengambil inisiatif untuk menjelaskan 10 bahan yang terlarang digunakan dan sering terdapat dalam produk kesihatan dan juga kosmetik.
Ikuti perkongsian mereka di bawah:
Bahan-bahan dilarang didapati dalam produk boleh menyebabkan kesan mudarat yang membahayakan kesihatan jika digunakan tanpa pemantauan dan arahan profesional kesihatan. Berikut adalah sebahagian daripada bahan-bahan dilarang yang sering dikesan di dalam produk-produk kesihatan.
1. Acetaminophen / Paracetamol
Acetaminophen adalah juga dikenali sebagai Paracetamol. Ia boleh diambil untuk rawatan sendiri (self-medication) tetapi apabila perubatan tradisional tidak diisytiharkan mengandungi acetaminophen/paracetamol, pengambilannya yang berlebihan tanpa disedari boleh membawa kepada kerosakan hati, kegagalan buah pinggang, koma dan akhirnya kematian.
2. Bisacodyl
Bisacodyl adalah ubat yang dimakan untuk merawat sembelit. Penggunaannya tanpa pengawasan boleh menyebabkan kekejangan perut, merasa mual, muntah-muntah, cirit-birit dan hypokalaemia (tahap potassium yang rendah).
3. Chlorpheniramine
Chlorpheniramine adalah ubat dalam kategori anti-histamine. Penggunaanya tanpa pengawasan boleh menyebabkan kesan-kesan advers seperti pening, tekanan darah menurun, denyutan jantung yang tidak menentu, kekeliruan, kemurungan dan sawan adalah antara yang boleh terhasil dari penggunaan chlorpheniramine.
4. Dexamethasone & Prednisone
Dexamethasone dan Prednisone adalah kortokosteroid yang mana penggunaannya secara berpanjangan tanpa pengawasan boleh menyebabkan peningkatan paras glukosa dalam darah yang mengakibatkan kencing manis, tekanan darah tinggi, katarak, penyakit otot dan tulang, serta meningkatkan risiko jangkitan yang teruk.
Penggunaan kortikosteroid dalam jangka panjang juga boleh mengakibatkan Cushing’s Syndrome yang mana dicirikan dengan muka bulat atau moon face, serta kegemukkan pada bahagian badan dengan anggota tangan dan kaki yang kecil. Pengambilan dos steroid yang tinggi dalam tempoh yang lama menyebabkan pengguna mengalami gejala keletihan, sakit otot dan sendi, demam, kadar gula dalam darah rendah, tekanan darah rendah dan dehidrasi.
5. Hydroquinone
Hydroquinone adalah bahan yang lazimnya digunakan untuk merawat penyakit kulit. Bahan ini adalah dikawal di mana Hydroquinone adalah dilarang dalam produk kosmetik yang digunakan bagi penjagaan kulit. Penggunaan hydroquinone tanpa pengawasan boleh menyebabkan hipersensitiviti pada kulit, perubahan kepada warna kulit yang menyebabkan kulit secara beransur-ansur menjadi kehitaman, dan meningkatnya risiko kanser kulit.
6. Mercury
Tahap mercury yang tinggi atau pendedahan yang kerap boleh meyebabkan kulit kebas, sakit kepala, ruam, perubahan warna kulit serta kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Anak damit dan kanak-kanak kecil boleh terdedah dengan kesan sampingan penggunaan mercury; yang boleh menggangu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau anak damit yang belum dilahirkan.
7. Phenylbutazone, Piroxicam & Diclofenac
Penggunaan Phenylbutazone, Piroxicam dan Diclofenac tanpa pengawasan boleh menyebabkan ulser peptik, pendarahan gastro-usus, loya, muntah-muntah, ruam kulit, kabur penglihatan, edema, penyakit kuning dan kegagalan buah pinggang. Phenylbutazonejuga sering dikaitkan dengan kesan sampingan yang teruk seperti penyakit darah yang serius.
8. Sibutramine
Sibutramine adalah agen pelangsing badan yang tidak lagi disarankan penggunaannya dalam rawatan obesiti kerana kesannya yang boleh memudaratkan jantung dan hati. Pengambilan sibutramine juga boleh menyebabkan kesan advers yang serius seperti tekanan darah tinggi, denyutan jantung yang tidak menentu dan sukar untuk tidur; dan dalam kes-kes yang paling teruk, ianya boleh menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan hati.
9. Sildenafil, Tadalafil & Vardanafil
Sildenafil, Tadalafil atau Vardanafil adalah ubat yang digunakan untuk merawat mati pucuk yang mana pengambilannya memerlukan preskripsi doktor. Antara kesan-kesan sampingan apabila memakan ubat-ubat tersebut ialah merasa mual, muntah-muntah, muka kemerahan dan pening. Dalam kes-kes yang teruk, ia juga boleh menyebabkan peningkatan yang luar biasa dalam degupan jantung, kehilangan pendengaran secara tiba-tiba dan sawan.
10. Tretinoin
Tretinoin adalah bahan yang digunakan dalam ubat-ubatan yang memerlukan preskripsibagi merawat penyakit kulit dan ianya dilarang sebagai bahan di dalam produk kosmetik penjagaan kulit di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik). Penggunaan tretinoin yang tidak betul boleh menyebabkan kulit yang disapu menjadi kemerahan, mengelupas dan parut pada kulit.
Oleh itu, sebagai pengguna anda harus bijak serta sentiasa mengambil berat akan bahan-bahan yang terkandung di dalam produk tersebut sebelum membelinya. Hal ini kerana, mengambil produk-produk kesihatan atau kosmetik yang menggunakan bahan terlarang boleh menyebabkan anda terdedah kepada bahaya pada masa akan datang.
Sumber: Public Health Malaysia