Apabila mendengar penyanyi kesukaan kita menyanyi, kita semestinya akan teruja untuk memiliki suara sebegitu sehingga sanggup berlatih berkali-kali hanya kerana ingin menjadi seperti mereka.
Namun, semua harus memahami bahawa setiap orang itu mempunyai nada, vocal range dan key suara yang tersendiri. Semestinya ada yang ingin mencuba mencapai lagu yang mempunyai key yang tinggi, namun tidak kesampaian.
Walau bagaimanapun, masih ada beberapa cara dan teknik untuk kita menyanyikannya dengan baik tanpa menggunakan key suara penyanyi asal. Tahukah anda semua, penggunaan teknik vokal yang betul mampu menjadikan suara anda merdu?
Antara teknik vokal yang harus dipraktikkan adalah teknik pernafasan yang betul. Pernafasan merupakan elemen yang amat penting dalam nyanyian kerana pernafasan ketika menyanyi menggunakan udara yang lebih banyak berbanding pernafasan seharian.
Ramai yang gemar menarik nafas dengan tergesa-gesa sebelum mengeluarkan suara. Oleh sebab itu, ada suara yang tidak sampai kerana pernafasan tidak mencukupi untuk mengeluarkan suara.
Semasa bernafas, oksigen akan masuk ke dalam ruang paru-paru. Bahagian otot yang membantu proses pernafasan terdiri daripada otot diafragma. Apabila otot diafragma menurun, bahagian pinggang akan mengembang. Tekanan udara yang berada di dalam badan kita akan menjadi rendah dan ini akan menyebabkan proses respirasi berlaku.
Apabila otot diafragma menaik, tekanan udara yang terdapat di dalam badan akan menjadi tinggi dan ini menyebabkan udara keluar semula, atau dihembus iaitu disebut sebagai ekspirasi.

Menurut Mohd Hafiz Askiak, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Teater di Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi MARA yang merupakan pensyarah vokal fakulti tersebut, teknik pernafasan yang betul dapat membantu seseorang itu untuk menyanyi ke satu tahap yang lebih baik.
Cara bernafas dengan betul adalah tarik nafas ataupun udara dengan menggunakan mulut sedalam-dalam yang mungkin. Apabila anda menyanyi nanti, udara itu akan perlahan-lahan keluar daripada diagfram anda. Pastikan udara yang masuk harus ke diagframa dan diagframa haruslah mengembung apabila nafas ditarik.
Perhatikan pernafasan seorang bayi, perutnya naik dan turun apabila bernafas, itu adalah cara yang betul. Pastikan bahu tidak bergerak semasa nafas ditarik, jikalau bergerak kemungkinan cara anda menarik nafas adalah salah. Amalkan cara tersebut dengan mengimbangi bahu anda dan menumpukan pada pergerakan perut anda ke dalam dan ke luar.

Mudah bukan? Tak rugi jika kita mencuba sesuatu yang selama ini dianggap remeh. Perkara ini amat dititikberatkan oleh penyanyi profesional.
Penulis
- Muhammad Nabil Bin Zahanuddin adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
- Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.