Bagi pencinta haiwan, kehadiran haiwan peliharaan adalah penyeri kehidupan. Menjadi lambang sebenar erti sebuah persahabatan, tidak hairanlah kehilangan mereka begitu dirasai sekali oleh tuan mereka.
Memang benar bahawa majoriti haiwan peliharaan mempunyai jangka hayat yang lebih pendek berbanding manusia, tetapi bagaimana pula jika tuan haiwan ini yang pergi terlebih dahulu sebelum mereka? Ini merupakan 7 kisah haiwan peliharaan yang kekal setia dengan tuan mereka walaupun sesudah mati.
1. Hachiko
Telah diadaptasi menjadi sebuah filem Hollywood, kisah seekor anjing bernama Hachiko ini sangat meruntun jiwa. Anjing jenis Akita yang berasal dari Jepun ini telah menjadi sangat terkenal di serata dunia kerana kisah kesetiaannya.
Selama 10 tahun setelah kematian tuannya yang merupakan seorang professor di Universiti Tokyo, Hachiko tetap setia menunggu kehadiran tuannya itu di sebuah stesen kereta api. Pada tahun 1932, sebuah arca Hachiko telah dibina di hadapan Stesen Kereta Api Shibuya, tempat di mana Hachiko setia menunggu tuannya hingga anjing itu turut menemui ajalnya.
2. Toldo
Setelah kematian Renzo Iozzelli pada umur 71 tahun, kucing peliharaannya yang bernama Toldo sering melawat kubur tuannya itu. Toldo yang berasal dari Motagnana, Itali setia menunggu sehingga tamat proses pengebumian tuannya. Kucing itu juga sering dilihat membawa pelbagai ‘cenderahati’ seperti cawan plastik, ranting kayu dan daun ketika melawat kubur manusia kesayangannya itu.
Toldo telah mengenali Renzo sejak berumur tiga bulan lagi. Lelaki itu telah menyelamatkannya daripada sebuah koloni kucing liar dan menjaganya sehingga Renzo meninggal dunia. Umur Toldo ketika itu adalah tiga tahun. Warga setempat sering terlihat Toldo di kubur Renzo seolah-olah mengawal tempat tersebut.
3. Capitán
Di bandar Villa Carlos Paz Cordoba di Argentina, seekor anjing baka German Shepherd telah ditemui mati di kubur tuannya. Anjing tersebut yang bernama Capitán setia menunggu di situ selama 10 tahun sebelum dia juga mati akibat kegagalan buah pinggang.
Setelah kematian tuannya, Guzmán, Capitán didapati telah hilang dari kediaman keluarga tuannya. Bagaimanapun, anjing itu ditemui di kubur Guzmán apabila ahli keluarga pergi melawat kubur lelaki itu. Tiada siapa yang tahu bagaimana Capitán dapat mengesan kubur tuannya dengan tepat walaupun dia tidak pernah dibawa ke situ oleh siapa-siapa.
4. Figo
Gambar anjing bernama Figo ini pernah tular di media sosial sekitar tahun 2013. Figo merupakan anjing K-9 pasukan polis Bardstown di Kentucky, Amerika Syarikat. Semasa gambar Figo ini tular, dia dirakam semasa berada di majlis pengebumian rakan manusianya, Jason Ellis, seorang pegawai polis yang mati ditembak pada 25 Mei 2013.
Gambar yang tular itu menunjukkan Figo memegang keranda Jason. Wajahnya sugul seolah-olah meratapi pemergian rakannya itu.
5. Wiley
Mungkin anda pernah melihat video anjing bernama Wiley ini di laman YouTube. Anjing peliharaan ini dirakam sedang menangis sambil berbaring di atas kubur nenek manusianya yang telah meninggal dunia.
6. Zelda
Pada tahun 2006, anjing bernama Zelda ini telah diselamatkan setelah dilanggar sebuah kereta oleh seorang remaja bernama Joshua Reed. Sejak itu, Zelda tidak pernah meninggalkan sisi tuannya. Apabila Joshua meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya ketika berumur 15 tahun, Zelda mencari-cari kelibat tuannya itu di ladang milik keluarganya. Malah, Zelda yang tidak pernah keluar dari rumah sejak kemalangan yang menimpa dirinya telah keluar beberapa kali demi mencari rakannya itu.
7. Bobby
Apa yang berlaku pada tahun 1850-an ini menceritakan kisah Bobby yang dijadikan anjing pengawal oleh tuannya yang merupakan seorang pegawai polis. Setelah tuannya mati akibat tuberkolosis pada 1858, Bobby tetap menjadi anjing pengawal dan setia mengawal kubur tuannya sehinggalah dia sendiri menemui ajal 14 tahun kemudian.
Seperti Hachiko, sebuah arca turut dibina buat Bobby bagi menhargai jasa anjing peliharaan yang setia hingga hujung nyawa itu.
Walaupun haiwan tidak mampu untuk berbicara seperti manusia, mereka masih mampu menzahirkan perasaan sedih. Seperti manusia, haiwan-haiwan ini melangkaui sempadan dengan perlakuan mereka dan menunjukkan betapa kuatnya hubungan antara seekor haiwan peliharaan dan tuan mereka.