Kesetiaan Si Oyen Pada Tuannya Ini Curi Tumpuan Orang Ramai

Kucing merupakan haiwan mamalia yang sering bersama manusia sebagai haiwan peliharaan kegemaran selain daripada anjing. Tidak dinafikan kucing menjadi pilihan untuk dipelihara dek kerana kemanjaan serta kecomelannya yang mencuit hati dan terkadang keletahnya menjadi penghibur terutamanya buat pencinta kucing. Kucing bukan sahaja boleh menjadi tempat untuk bermain tetapi ia juga mampu menghilangkan tekanan kepada manusia.

Bagi sesetengah pencinta kucing, kehilangan haiwan kesayangan mereka itu pasti akan menimbulkan perasaan sedih dan rindu yang mendalam. Namun, pernahkah kita dengar kucing yang merindui tuannya yang sudah tiada?

Kasih sayang kepada haiwan peliharaan nyata membawa seribu makna walaupun pemiliknya sudah pergi buat selama-lamanya. Buktinya, seekor kucing jantan di Kampung Paloh, Tanah Merah Kelantan hampir setiap hari melawat pusara tuannya sejak dua tahun lalu. 

Kucing jantan berwarna oren yang diberi nama ‘Nana’ tersebut akan menziarahi pusara tuannya iaitu arwah Abdul Aziz bin Ismail yang terletak kira-kira 5 meter dari rumah arwah. Walaupun Nana hanyalah seekor kucing, namun ia seolah-olah mengerti tuannya sudah tiada dan telah meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang.

Menurut isteri arwah Abdul Aziz, Hasnah Che Amat, setiap pagi dia pasti akan melihat kelibat Nana naik ke atas rumah dalam keadaan basah setelah pulang dari menziarahi pusara tuannya.

Selain dari menziarah kubur, Nana akan menghabiskan masa di atas kereta peninggalan Abdul Aziz selain buaian yang menjadi tempat kesukaan arwah.

Kucing jantan baka tempatan itu dijaga oleh keluarga Abdul Aziz sejak enam tahun yang lalu dan menjadi haiwan kesayangan arwah. Walaupun kini keluarga Hasnah hanya menziarahi kubur arwah seminggu sekali, tetapi Nana masih meneruskan rutinnya setiap pagi. Si comel ini akan menghabiskan masa duduk di tepi kubur ataupun tidur di kawasan berkenaan.

Penulis:

  • Nurul Afiqah binti Khalil adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Prof Madya Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk baca artikel-artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca