Sebelum ini, Euro Fun Park telah menemui penduduk Gombak dan Ampang. Kini, tiba masanya pula untuk mereka yang tinggal di Shah Alam menikmati keseronokan ini.
Karnival funfair bergerak terbesar di Malaysia ini telah dibuka bermula 23 Mac hingga 5 Mei 2019. Apa yang menariknya, ia dibuka setiap hari bermula jam 7 malam hingga 12 tengah malam.
Malam penuh warna-warni akan dimeriahkan dengan 20 jenis permainan yang sesuai untuk anda yang merupakan kaki ekstrem dan juga untuk kanak-kanak. Antaranya termasuklah Vortex, Sky Rider, Merry Go Round, Dodgem Car, Top Gun dan Haunted Castle.
Di sini, kami kongsikan 5 rides yang anda semua wajib cuba apabila berkunjung ke Euro Fun Park ini:
1. Sky Rider
Sky Rider merupakan buaian yang wajib anda semua naik apabila berkunjung ke mana-mana funfair. Selalunya, rata-rata pengunjung akan menjadikan Sky Rider sebagai ride pertama mereka di Euro Fun Park. Dalam erti kata lain, ia boleh dianggap sebagai appetizer.
Tahap Seram: 2/5
2. Dodgem Car
Permainan ini sama seperti Bumper Car tetapi ia disertai dengan muzik dan lampu yang menjadikannya lebih menarik. Sekiranya anda semua berpeluang menaiki Dodgem Car ini, jangan lupa untuk hire kawan masing-masing supaya mengambil video untuk dikongsikan di media sosial nanti!
Tahap Seram: 1/5
3. X Coaster
Bagi mereka yang sudah lama tidak naik roller coaster, anda semua wajib untuk menaiki X Coaster ini. Walaupun kelajuannya tidaklah seberapa berbanding dengan roller coaster yang lain, tetapi ia tetap menyeronokkan!
Tahap Seram: 3/5
4. Challenger
Kepada mereka yang mempunyai niat untuk menaiki Challenger, kami sarankan agar anda semua tidak makan apa-apa sejam sebelum menaikinya. Rasanya, mesti anda sudah tahu kenapa, bukan?
Challenger merupakan permainan yang sangat mencabar di mana ia berpusing 360 darjah ke kiri, kanan, atas dan bawah. Dalam erti kata lain, selagi boleh berpusing, ia akan berpusing ke semua sudut yang ada.
Tahap Seram: 4/5
5. Vortex
Pasti ramai yang kecut perut untuk menaiki ride ini. Vortex bukan sahaja berpusing 360 darjah di udara malah pada masa yang sama, tempat duduk anda semua pun turut serta berpusing!
Tahap Seram: 5/5
Jika anda tertanya-tanya tentang isu keselamatan, taman tema ini diselenggara oleh jurutera dari Eropah. Struktur mekanikal dan sistem eloktronik taman ini turut diperiksa oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH). Pastinya keselamatan dan keselesaan pengunjung serta pekerja menjadi keutamaan mereka.
Bagi sistem tiketnya pula, tiket masuk untuk dewasa adalah RM4 seorang manakala kanak-kanak akan dikenakan bayaran RM2 seorang.
Apabila anda ingin menaiki setiap ride, anda perlu membeli token. Setiap ride mempunyai harga yang berbeza. Kebiasannya, pengunjung perlu membayar RM10 untuk setiap ride manakala Vortex pula mengenakan bayaran sebanyak RM16.
Jadi, apa anda tunggu lagi? Bawa rakan-rakan anda untuk menikmati keseronokan Euro Fun Park ini sebelum terlambat!