Kes Ugut Jenayah Kumpulan Radja, Polis Johor Sudah Lengkap Kertas Siasatan

Ketua Polis Johor iaitu Datuk Kamarul Zaman Mamat mengesahkan bahawa pihak beliau telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes ugutan jenayah dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kumpulan rock terkenal dari Indonesia iaitu Radja.

Memetik laporan Kosmo! Online, Kamarul Zaman berkata Polis Johor telah memanggil 17 individu dan dua suspek setakat ini untuk mengambil keterangan mereka berhubung kes berkenaan.

“Kertas siasatan ini akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapat nasihat dan arahan selanjutnya. Polis Johor memberi jaminan bahawa siasatan yang telus akan dijalankan tanpa kompromi mengikut undang-undang sedia ada,” ujar Kamarul Zaman dalam kenyataan hari ini.

Kamarul Zaman. Sumber: Kosmo! Online

Kamarul Zaman menjelaskan pihaknya menerima laporan polis pada pukul 5.34 pagi kelmarin berkenaan insiden tersebut. Kejadian itu difahamkan bermula selepas salah faham wujud di antara pihak penganjur konsert dan penyanyi lagu Benci Bilang Cinta berkenaan sehingga menyebabkan dua orang lelaki melempar kata-kata kesat dan mengancam untuk mengambil nyawa ahli kumpulan Radja.

Sumber: Berita Harian

Vokalis kumpulan Radja iaitu Ian Kasela menjelaskan pihaknya tidak dimaklumkan berhubung sesi Meet And Greet antara band berkenaan dengan peminat serta beberapa lagi aktiviti lain yang telah dirancangkan oleh pihak penganjur konsert.

“Kejadian berlaku kira-kira pada pukul 11.15 malam di mana kami telah dimaki dengan kata-kata kesat. Individu tersebut turut memberikan ugutan ambil nyawa kepada kami sekiranya masih berada di dalam Malaysia.

Kami rasa agak kecewa kerana telah melakukan yang terbaik untuk konsert dan peminat di sini. Kami turut meluangkan masa untuk bergambar bersama peminat sewaktu konsert berlangsung,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Johor itu berkata kes berkenaan turut disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. Radja telah menemui para peminat di Malaysia melalui Majestic Johor Concert di Stadium Tertutup Arena Larkin dekat Johor Bahru, Johor pada 11 Mac lalu.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca