Kes Tangmo Nida Lemas, Penyiasat Terkemuka Bentangkan ‘Persoalan’ Yang Mencurigakan

Pemergian aktres Thailand iaitu Nida Patcharaveerapong ataupun lebih dikenali sebagai Tangmo yang menghembuskan nafas terakhir kerana lemas selepas terjatuh dari bot laju di Sungai Chao Phraya minggu lalu telah menimbulkan pelbagai spekulasi.

Tangmo yang berusia 38 tahun dipercayai terjatuh ke dalam sungai sekitar jam 10.40 malam pada Khamis lalu dan jasad mendiang ditemui kira-kira jam 1 tengah hari Sabtu lalu.

Dalam laporan bedah siasat, Tangmo difahamkan mempunyai luka besar di bahagian paha yang dipercayai kerana terkena kipas bot. Pelakon Bangkok Love Stories: Innocence itu juga mempunyai lebam dan calar kecil di kakinya.

Walau bagaimanapun, ahli patologi terlibat dalam kes ini tidak dapat menentukan fakta utama termasuk punca kaki Tangmo terluka dan sama ada dia benar-benar cuba untuk membuang air kecil sebelum dia lemas seperti yang didakwa rakan-rakan mendiang.

Kamronwit Toopkrajang. Sumber: Thaiger

Dalam pada itu, bekas pesuruhjaya polis iaitu Kamronwit Toopkrajang turut mengulas kes aktres tersebut dengan mempersoalkan jika benar Tangmo mahu membuang air kecil di belakang bot seperti yang didakwa, mengapa jasadnya ditemui dengan pakaian yang masih utuh seolah-olah ia tidak pernah dibuka? Jaket yang dipakai oleh aktres itu juga masih dililit di bahagian pinggangnya.

Memetik laporan Thaiger, penyiasat forensik tidak dapat menentukan sama ada Tangmo tidak sengaja terjatuh ke dalam air ataupun dia ditolak oleh seseorang.

Ini kerana luka dalam sepanjang 30 sentimeter pada kaki mendiang mungkin berpunca daripada kipas bot dan ia dipercayai telah memotong arteri utama sehingga mengehadkan keupayaannya untuk berenang.

Sementara itu, hasil laporan forensik juga tidak dapat menentukan sama ada kaki mendiang dicederakan sebelum atau selepas beliau meninggal dunia.

Ahli patologi juga tidak dapat menentukan sama ada Tangmo benar-benar mahu membuang air kecil sebelum lemas kerana jasadnya telah berada di dalam air untuk tempoh yang lama.

Sumber: Thaiger

Kamronwit turut berkata autopsi ini tidak konsisten dengan jenis luka yang dihasilkan oleh kipas bot yang sedang berputar kerana ia sepatutnya mengoyakkan daging dengan menghasilkan luka yang tidak cantik bukannya berbentuk lurus.

Beliau turut percaya Tangmo menghembuskan nafas terakhir di kawasan air yang tidak dalam kerana kesan pasir di dalam paru-parunya.

Bekas pesuruhjaya polis itu turut percaya ia mengambil masa yang lama untuk mencari jasad mendiang kerana saksi sengaja membawa polis ke arah yang salah iaitu ke arah kawasan sungai yang dalam.

Sumber: The Vocket

Kamronwit turut meminta polis untuk melawat restoran tempat mereka berkumpul untuk makan malam, “Lihat CCTV dan semak bila mereka keluar dan masuk serta makanan apa yang mereka pesan. Ada minuman beralkohol?

Periksa kelajuan bot tersebut kerana ada penduduk tempatan beritahu saya mereka telah berselisih dengan bot tersebut berkali-kali dan ia sentiasa dipandu pada kelajuan tinggi.

Ini kerana tempoh dari restoran ke lokasi kejadian tidak boleh melebihi 30 minit sekiranya bot dipandu pada kelajuan tinggi. Saya harap pihak polis akan menyiasat kes ini secara jujur dan telus. Terdapat orang kaya yang turut berada di bot tersebut tetapi mereka perlu dipenjarakan jika melakukan sesuatu yang salah. 

Jika saya berada di atas bot dan seseorang jatuh, saya akan melakukan segala-galanya untuk mencari individu itu. Ini pelik. Orang yang menaiki bot itu menghilangkan diri selama sehari sebelum saksi membuat laporan polis.

Di manakah mereka? Adakah mereka mempersiapkan sesuatu?” kata Toopkrajang kepada Nation Thailand.

Dalam pada itu, kecurigaan semakin timbul terhadap tingkah laku pengurusnya, Idsarin Juthasuksawat ataupun lebih dikenali sebagai Gatick yang mendakwa tidak tahu berenang ketika menerima soalan daripada ibu mangsa mengapa dia tidak terjun untuk menyelamatkan Tangmo walaupun terdapat bukti untuk membuktikan sebaliknya. Apa pendapat anda?

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca