Kes Rampas Jasad COVID-19 Di Indonesia Semakin Meningkat

Hospital di Indonesia mempertingkatkan kawalan di rumah mayat selepas banyak kes sanak saudara melarikan mayat mangsa COVID-19 kerana mahu mengadakan upacara pengebumian mengikut tuntutan agama mereka sendiri.

Pihak polis berkata, di bawah peraturan baharu di negara itu, mangsa korban COVID-19 mestilah dibalut dengan plastik dan dikebumikan dengan segera untuk mengelakkan penularan virus daripada berlaku.

Perkara ini kurang disenangi oleh saudara-mara mangsa terutama yang beragama Islam. Ia kerana mereka tidak boleh memandikan dan mengkafankan jenazah sebelum dikebumi mengikut tuntutan agama.

Pihak keluarga juga tidak dibenarkan berkumpul atau berada lama di tanah perkuburan ketika mayat mangsa dikebumikan.

Pada minggu lalu, ekoran daripada larangan itu, beberapa keluarga menceroboh dan memasuki rumah mayat beberapa hospital di Makassar di Sulawesi dan mengambil mayat anggota keluarga yang meninggal dunia akibat COVID-19.

Jurucakap polis tempatan iaitu Ibrahim Tompo berkata, mereka merampas mayat yang sudah siap sedia untuk dikebumikan mengikut protokol virus secara paksa.

“Sekurang-kurangnya 33 individu ditahan dan mereka berdepan tujuh tahun penjara kerana melanggar peraturan kuarantin kesihatan.

“Bagi mengatasi masalah sama berulang, pihak berkuasa Makassar meletakkan lebih banyak kakitangan untuk mengawal hospital tempatan,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, khabar angin menyatakan beberapa mayat turut dijadualkan akan dikebumikan segera walaupun meninggal dunia kerana penyakit tiada kaitan dengan COVID-19 lebih memburukkan keadaan.

“Ini menyebabkan keluarga dan penduduk tempatan marah. Jadi, mereka memutuskan untuk mengambil mayat secara paksa untuk dibawa ke rumah,” katanya.

Pihak berkuasa berkata mereka menahan empat individu selepas saudara-mara merampas mayat yang disyaki mangsa virus itu dari hospital tempatan pada Jumaat lalu di Surabaya.

Untuk baca artikel lain berkenaan COVID-19 di Indonesia, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca