Vokalis kumpulan Bunkface iaitu Sam dan bekas isterinya Aida Azira Husin hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya di Selangor semalam untuk menghadiri kes pindaan nafkah anak yang dituntut oleh penyanyi itu.
Sam mahu keadilan

Memetik laporan Harian Metro, Sam atau nama sebenarnya Shamsul Annuar bin Mohd Baharom berharap keadilan dapat diberikan dalam perkara ini.
“Saya nak mencari keadilan. Insya-Allah mahkamah yang mulia ini akan berikan keadilan. Itu saja. Selain daripada itu, anda kena tanya Puan Aida (bekas isteri). Pergi tanya Aida. Saya tiada apa-apa lagi nak cakap.
Kalau saya nak cakap sesuatu saya akan bagi kenyataan yang lebih besar. Kalau korang (kamu) nak tahu, Bunkface akan keluar album tak lama lagi,” katanya sambil berjenaka kepada media selepas prosiding selesai.
Dalam pada itu, Sam yang ditemani isterinya iaitu Puteri Eifa Ezrin Mohd Kushairi berkata dia bersyukur kerana dapat bertemu anaknya Maleeq.

Peguam syarie Liyana Sihar yang mewakili Sam berkata Aida tampil dengan beberapa isu yang disebut dalam perbicaraan semalam.
“Dia sebut secara lisan dan keterangannya secara am iaitu anak tak dapat kehidupan yang baik (sekiranya nafkah dikurangkan). Mereka akan beritahu pada tarikh 26 Jun ini sama ada terdapat saksi dalam kes ini.
Hakim bagi tiga tarikh. Untuk soalan-soalan balas saksi pun pada tarikh seterusnya. Itu pun jika ada dan kalau tiada kes akan ditutup tapi dia kata ada dan mungkin ada. Itu yang dizahirkan kepada mahkamah. Kita dengar yang itu saja,” jelasnya.
Aida yang hadir bersama peguamnya tidak mahu memberikan sebarang kenyataan dan bergegas menuju ke kenderaan sebaik sahaja keluar dari ruang perbicaraan.
Bimbang anak tidak akan dapat kehidupan sempurna jika nafkah dikurangkan

Berita Harian melaporkan Aida tidak bersetuju dengan permohonan dibuat penyanyi Situasi itu berhubung pindaan nafkah anak lelaki tunggal mereka Maleeq.
Menerusi jawapan dalam prosiding, Aida berkata anaknya tidak dapat kehidupan sempurna sekiranya jumlah nafkah kurang daripada RM1,300.
“Sekiranya nafkah dikurangkan bermakna saya perlu kurangkan perbelanjaan anak. Kos itu termasuk tempat tinggal, makanan, pakaian, perubatan, pengangkutan ke sekolah dan utiliti seperti bil air dan elektrik.
Jika dikurangkan, saya terpaksa kurangkan makanan Maleeq di mana setiap kali mengambilnya dari sekolah, anak saya berbelanja kira-kira RM15 untuk membeli makanan seperti aiskrim dan toys (permainan).
Selain itu, anak tidak selesa kerana perlu mengehadkan penggunaan pendingin hawa yang saya kira membabitkan bil (perlu dibayar),” ujarnya.
Menurut Aida lagi, jumlah nafkah anak sebanyak RM1,300 yang diperoleh daripada Sam sebelum ini telah digunakan untuk membayar pelbagai keperluan Maleeq seperti insurans, perubatan dan makanan.
Aida selaku defendan turut beranggapan bahawa pendapatan Sam sama sekali tidak terjejas ketika pandemik lalu kerana adanya royalti namun tidak pasti sama ada bekas suaminya itu memperoleh bayaran atau sebaliknya.
Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Petaling Shukran Yusof telah menetapkan tarikh baharu iaitu 26 Jun depan untuk prosiding pemeriksaan balas yang akan dilakukan peguam syarie mewakili Aida.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: