Kes Misteri Kehilangan Novelis Agatha Christie Selama 11 Hari

Jumaat, 3 Disember 1926

Pukul 9.30 malam. Agatha Christie bangkit dari kerusi, meninggalkan sepucuk surat dan berjalan menaiki tangga menuju ke bilik tidur anak perempuannya, Rosalind yang berusia 7 tahun. Dia mengucup dahi anaknya, mengucap selamat malam sebelum turun ke bawah semula.

Kemudian Agatha masuk ke dalam kereta Morris Cowley dan meninggalkan kediamannya di Berkshire sehingga keretanya larut dalam gelita malam. Sejak itu, dia tidak kelihatan lagi.

Where is Mrs Christie? Murder Mystery Novelist Has Disappeared

Agatha Christie hilang! Berita tersebut menggemparkan seluruh negara dan kejadian itu menjadi tajuk utama akhbar Daily Sketch.

Sepucuk surat peninggalannya bertulis yang dia mahu pergi ke Yorkshire. Bagaimanapun, keretanya ditemui pada keesokan pagi berhampiran kawasan kuari batu kapur, beberapa batu dari rumahnya.

Hanya lesen memandu dan beberapa helai pakaian ditemui dalam kereta tersebut. Tiada tanda-tanda wanita itu terlibat dengan kemalangan.

Lebih seribu orang polis ditugaskan untuk mengendalikan kes tersebut, bersama penglibatan ratusan warga penduduk tempatan bagi mencarinya. Buat pertama kali, beberapa buah kapal terbang turut digunakan dalam operasi pencarian itu.
Embed from Getty Images

Namun jejak wanita itu masih belum ditemui dan hilang dari radar.

Dalam masa beberapa hari, media antarabangsa termasuk New York Times dapat menghidu kejadian itu dan akhirnya satu dunia menjadi heboh memandangkan Agatha Christie merupakan novelis detektif terkenal global, sebaris dengan Arthur Conan Doyle (penulis siri Sherlock Holmes). Hampir 4 bilion naskhah novelnya terjual di seluruh dunia.

Embed from Getty Images

Malah Arthur Conan turut membantu mencarinya dengan menggunakan khidmat bomoh dan aktiviti paranormal bagi menyelesaikan misteri tersebut, usaha itu gagal total.

Media dan khalayak mula menimbulkan spekulasi-spekulasi seperti berikut:

  1. Novelis itu diculik.
  2. Wanita itu bunuh diri dengan melemaskan dirinya ke dalam sebuah kolam air panas bernama Silent Pool (dua orang budak mati lemas sebelum ini) sebab kemurungan.
  3. Dia dibunuh. Suspek utama: suaminya yang curang.
  4. Mangsa plot cerita-cerita detektif rekaannya sendiri.
  5. Gimik bagi melariskan jualan novel-novelnya.

Namun semua itu hanya andaian dan jasadnya masih belum ditemui. Kehidupan profesional Agatha berjalan dengan baik dan novel terbarunya tetap laris dijual.

Salah satu pihak akhbar di London menawarkan 100 pounds kepada sesiapa yang mempunyai maklumat tentang Agatha Christie manakala pihak kerajaan mengerah polis agar segera mencari novelis terkenal itu secepat mungkin.

14 Disember 1926

Genap 11 hari selepas kehilangannya, akhirnya Agatha ditemui dalam keadaan selamat dan sihat sejahtera di sebuah hotel di Harrogate. Salah seorang pekerja hotel tersebut yang melaporkan kepada polis setelah melihat kelibat wanita itu.

Anehnya, wanita berkenaan menempah bilik hotel tersebut menggunakan nama Theresa Neele, perempuan simpanan suaminya. Apa yang lebih menghairankan, Agatha mengalami Amnesia dan tak ada klu bagaimana boleh sampai di situ. Dia tak ingat apa-apa.

Polis menganggap semuanya selesai dan menyuruh suami Agatha, Archibald agar segera menjemputnya di hotel.

Namun wanita itu tidak bergegas untuk meninggalkan tempat tersebut sebaliknya membiarkan suaminya menunggu di lounge hotel sementara dia menukar gaun.

Tahun yang sukar

Tahun 1926 merupakan episod sedih bagi Agatha. Ibunya meninggal dunia dan tiba-tiba si suami mahu meninggalkan dia demi perempuan lain, menggugat keharmonian rumah tangga yang telah terbina selama 12 tahun.

Pada 3 Disember itu, Archibald tidak pulang ke rumah kerana mahu menghabiskan masa hujung minggu bersama perempuan simpanannya. Mungkin sebab rasa tertekan, Agatha tinggalkan rumah pada malam itu.

Embed from Getty Images

Suaminya mendakwa yang Agatha hilang memori akibat kemalangan kereta. Namun pihak pengkaji yang selidik ‘skandal 11 hari’ ini mengatakan bahawa novelis tersebut mengalami gangguan psikologi, trauma atau depresi yang membawa kepada amnesia dan personaliti baru. Ada juga teori mengatakan yang dia sebenarnya mahu bunuh diri, tapi tak jadi.

Akhirnya Agatha bercerai dengan suaminya pada tahun 1928 sambil menoktahkan salah satu novel misterinya yang terkenal, The Mystery of the Blue Train. Buat apa terus simpan orang yang tak sudi.

Dan mereka hidup bahagia selama-lamanya

Dua tahun kemudian, Agatha melawat tapak arkeologi di Baghdad. Di situ, dia bertemu dengan seorang ahli arkeologi bernama Max Mallowan. Selepas 6 bulan perjumpaan itu, mereka berkahwin dan hidup bahagia hingga akhir hayat.

Agatha sambung menulis cerita-cerita detektif yang popular, malah dia mempelajari tentang segala jenis racun dan ubat-ubatan sewaktu menjadi pekerja sukarela farmasi untuk digunakan dalam novel jenayah.

Watak-watak detektif dalam novel-novel tulisan Agatha Christie kelihatan bijak dalam menyelesaikan apa jua kes, kecuali misteri yang menyelubungi hidup penulisnya.

Sehingga kini, tiada siapa yang benar-benar tahu apa sebenarnya terjadi pada Agatha Christie sepanjang 3-14 Disember itu kerana dia tidak pernah menceritakan kepada sesiapa dan rahsia ’11 hari’ itu tersimpan kemas dalam dirinya.

Artikel Lain Untuk Di Baca