Kes Kluster Pangsapuri Cheras, Mungkin Ada Kaitan Aktiviti Ziarah Aidilfitri

Semalam, dimaklumkan wujud kes pertama kluster baharu di sebuah pangsapuri di Cheras, Kuala Lumpur. Kes ini dikenal pasti daripada saringan pelajar pusat tahfiz yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, tiada pelajar, guru atau kakitangan dari pusat tahfiz tersebut yang mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling.

Sehingga kini, enam kes telah dikesan dalam kluster baharu itu di mana tiga kes merupakan penghuni pangsapuri tersebut dan tiga kes lain di luar kawasan pangsapuri.

Dr. Noor Hisham tidak menolak kemungkinan yang penularan ini ada kaitan dengan aktiviti ziarah Aidilfitri.

“Mereka telah dikesan melalui tindakan pengesanan kes secara aktif. Kes-kes positif kluster ini adalah merupakan ahli keluarga dan rakan kepada kes pertama yang dikesan.

Punca jangkitan kluster ini masih dalam siasatan, namun besar kemungkinan penularan COVID-19 adalah berkaitan dengan aktiviti kunjung mengunjung sebelum dan semasa Hari Raya Aidilfitri,” katanya dalam sidang media harian semalam.

Justeru itu, siasatan dan saringan kontak rapat bagi kes tersebut telah dijalankan.

“Setakat ini seramai 120  orang telah dikenalpasti dan disaring di mana enam kes positif COVID-19, 76 kes adalah negatif COVID-19 dan 38 masih menunggu keputusan,” tambahnya lagi.

Rakyat dinasihati untuk terus menjaga kesihatan diri sepanjang masa dan memakai pelitup muka ketika berada di luar. Pastikan juga penjarakan sosial diamalkan selalu untuk mengurangkan kadar jangkitan.

Untuk membaca artikel lain berkaitan COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca