Kes-Kes Kehilangan Dan Pembunuhan Kejam Kanak-Kanak Yang Telah Menggemparkan Malaysia

Mengikut statistik yang pernah dikeluarkan oleh Polis Di Raja Malaysia (PDRM), purata 4 kes kehilangan kanak-kanak dilaporkan setiap hari. Apa yang terjadi kepada kanak-kanak yang masih belum ditemukan ini? Namun begitu, ia mesti menjadi tanda tanya ibu bapa di manakah anak-anak mereka berada?

Pernahkah anda terfikir sama ada mereka ini diculik serta dibunuh dan siapakah yang tergamak melakukan perkara terkutuk itu kepada kanak-kanak yang langsung tidak berdosa? Ibu bapa mereka pasti meratapi kesedihan sepanjang kehilangan cahaya mata yang dikasihi.

Hari ini, kami senaraikan 7 kes kehilangan kanak-kanak yang telah menggemparkan Malaysia:

1. Ting Song Seng (1996)

Sudah 23 tahun berlalu namun kanak-kanak bernama Ting Song Seng ini masih tidak ditemui sehingga kini. Semuanya bermula apabila Ting dilaporkan hilang semasa menunggu bas di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Taman Rasah, Klang pada 15 Januari 1996.

Menurut Utusan Online, sejak daripada itu, pasangan Gan Kim Choo dan Tin Kuwi Diun tidak putus-putus usaha dalam mencari anak mereka termasuklah dengan mengedar hampir 50,000 risalah dan poster. Malah gerakan besar-besaran juga telah diadakan untuk mencari Ting yang melibatkan Pos Malaysia, polis sehinggalah ke negara Thailand.

Namun, sehingga kini Ting yang sepatutnya sudah berusia 32 tahun itu masih hilang tidak dijumpai.

2. Nurul Huda Abdul Ghani (2004)

Nurul Huda Abdul Ghani merupakan anak bongsu berusia 10 tahun yang sering dipanggil ‘Manja’. Pada 17 Januari 2004, kanak-kanak ini telah menunggang basikal untuk keluar membeli ikan dan telur buat keluarga di sebuah kedai yang terletak 500 meter dari rumah.

Namun, sehingga jam 12.45 tengah hari, Nurul Huda masih tidak pulang ke rumah hingga menimbulkan kebimbangan ahli keluarga yang lain. Mereka seterusnya membuat laporan polis sehingga membawa kepada penemuan tubuhnya yang sedang nyawa-nyawa ikan di tandas Stesen Janakuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB). Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

3. Nurin Jazlin Jazimin (2007)

Pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin merupakan antara pembunuhan yang paling kejam ke atas kanak-kanak. Mayat Nurin Jazlin Jazimin ditemui oleh pemilik lot kedai di 1/48, Taman Petaling Utama, Petaling Jaya. Pada mulanya Nurin dilaporkan hilang selepas beliau pergi ke pasar malam berhampiran rumahnya seorang diri pada 20 Ogos 2007 lalu.

Misteri kehilangan akhirnya terjawab apabila mayatnya yang tidak berbaju dipercayai mangsa deraan seks, ditemui oleh pemilik lot kedai di Jalan PJS 1, Taman Petaling Utama, Petaling Jaya pada 17 September 2007 dan setelah ujian DNA dijalankan, ia mengesahkan mayat tersebut adalah Nurin Jazlin.

Bedah siasat mendapati pembunuh telah memasukkan timun dan terung ke dalam kemaluan kanak-kanak itu, menyebabkan rektumnya pecah hingga dijangkiti bakteria dan ini antara faktor yang menyumbang kepada kematiannya.

Ketika ditemui, fizikal beliau dalam keadaan “kurus kering” dengan pelbagai kesan lebam pada badannya yang menyebabkan ibu bapa Nurin Jazlin tidak mengenalinya semasa membuat pengecaman.

4. Sharlinie Mohd. Nashar (2008)

Beberapa tahun lalu, berita tentang kehilangan kanak-kanak menjadi berita utama di media tempatan. Pada 9 Januari 2008, Sharlinie, 5 tahun, bermain di taman permainan di kawasan rumahnya di Taman Medan, Petaling Jaya bersama kakaknya sebelum dia didapati hilang.

Masyarakat mula memandang serius laporan tersebut apabila wujud watak ‘lelaki kucing’ setelah suspek dikatakan meminta mangsa mencari kucingnya yang hilang. Kehilangan Sharlinie terus menjadi isu hangat dalam media tempatan apabila kes itu timbul ketika kes kehilangan Nurin Jazlin Jazimin masih lagi panas. Polis yang meneruskan siasatan dilihat semakin ‘dingin’ dan kehilangannya masih lagi tidak diketahui hingga ke hari ini.

5. Nurul Nadirah Abdullah @ Dirang (2012)

Nurul Nadirah Abdullah atau lebih mesra dipanggil Dirang, 5 tahun, dilaporkan hilang pada 1 Mac 2012. Dirang dikatakan telah keluar untuk membeli mi segera dan telur di sebuah kedai runcit bawah rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam.

Namun, seperti kes kehilangan yang lain, Dirang telah ditemui mati akibat dibunuh dan dibakar pada 8 Mac 2012. Misteri kehilangan Dirang ini terjawab selepas sekujur mayat rentung telah ditemui dalam lubang tapak perumahan terbengkalai di Damai, Masai.

Lebih menyayat hati, suspek yang berjaya diberkas polis telah dikatakan mencekik Dirang sehingga mati sebelum memasukkan mayat mangsa ke dalam lubang dan membakarnya. Motifnya pula hanya kerana suspek berang dihina dan dipandang rendah oleh nenek mangsa.

6. Noor Amila Edrus Norsham (2016)

Noor Amila Edrus Norsham, 5 tahun, merupakan seorang anak yang pintar. Pantang mendengar bunyi azan, kanak-kanak tersebut akan terus ke surau atau masjid untuk menunaikan solat secara berjemaah. Dia dipercayai hilang pada 11 Ogos 2013 lalu selepas keluar menunaikan solat Maghrib di surau yang terletak 20 meter dari rumah ibu tirinya di Jinjang.

Mangsa memang setiap hari akan ke surau tersebut dan merupakan rutin harianya. Mayat mangsa akhirnya ditemui pada 18 Ogos kira-kira jam 12.30 tengah hari di kawasan semak dekat Kampung Kemensah, Hulu Kelang. Susulan penemuan mayat tersebut, kes Noor Amila diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Lebih menyedihkan, suspeknya merupakan suami kepada kakak tiri Noor Amila yang dikatakan telah mengikat kaki dan tangan mangsa dan membuang mayatnya dari atas tebing yang berketinggian 20 meter. Malah difahamkan juga ketika mayat ditemui, kepalanya telah terpisah daripada badan. Motif pembunuhan dikatakan berpunca daripada hutang dan suspek bakal dihukum gantung sampai mati.

7. Siti Masyitah (2019)

Ini merupakan antara kes pembunuhan terbaru pada tahun ini. Siti Masyitah, 11 tahun, dilaporkan hilang kira-kira jam 5 petang pada 30 Januari lalu. Menurut ibu Masyitah, beliau menceritakan detik kehilangan anaknya itu yang meminta wang RM1 untuk ke kedai dan berjanji akan pulang dengan segera.

Masyitah ditemui maut dalam keadaan tragis dengan kepalanya terpisah daripada badan, tangan dan kaki diikat serta beberapa organ dalaman didakwa tidak ditemui. Mayat kanak-kanak malang itu ditemui di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Tanjung Medang Hilir.

Sedih sungguh kisah kanak-kanak yang hilang dan ditemui dalam keadaan yang menyayat hati ini. Diharapkan ahli keluarga mereka tabah menghadapi dugaan yang menimpa dan semoga roh mangsa tenang di sana.

Artikel Lain Untuk Di Baca