Koronavirus: Kes Ke-5 Di Singapura, Kerajaan Berusaha Kesan Kontak Pesakit

Kementerian Kesihatan Singapura, hari ini, telah mengesahkan kes import kelima jangkitan Koronavirus baharu di republik itu.

Menerusi satu kenyataan, kementerian berkenaan memaklumkan kes terbaharu itu membabitkan seorang wanita warga China berusia 56 tahun yang berasal dari wilayah Wuhan. Pesakit dipercayai tiba di Singapura bersama keluarganya pada 18 Januari lepas.

Tambah pihak itu lagi, pesakit kini sedang diberikan rawatan di bilik isolasi di National Centre for Infectious Diseases (NCID). Keadannya dilaporkan stabil.

Laporan lanjut mendapati wanita berkenaan tidak menunjukkan sebarang simptom semasa berada dalam penerbangan menuju republik terbabit.

Walau bagaimanapun, simptom wabak mula muncul pada 24 Januari dan pesakit di bawa menaiki ambulans ke Hospital Tan Tock Seng dua hari kemudian.

Kementerian Kesihatan Singapura berkata, wanita berkenaan kemudiannya diklasifikasikan sebagai kes suspek dan segera diasingkan di NCID. Hasil ujian mengesahkan jangkitan Koronavirus Wuhan pada 27 Januari lalu.

Sebelum dimasukkan ke hospital, wanita berkenaan tinggal bersama keluarganya di Ceylon Road. Selain itu, pesakit dikatakan mula mengurung diri di dalam rumah susulan simptom wabak muncul pada 24 Januari sebelum dibawa ke hospital dua hari kemudian.

Difahamkan, pihak kementerian kini sedang berusaha mengesan individu yang mempunyai kontak dengan wanita berkenaan.

Sehingga jam 12 tengah hari semalam, sebanyak 62 kes suspek telah disahkan negatif jangkitan Koronavirus Wuhan.

Sementara itu, empat individu disahkan positif Koronavirus, manakala pesakit kelima disahkan kira-kira jam dua petang. Keputusan ujian bagi 57 kes lain masih lagi belum diperoleh.

Pengesanan kontak bagi kes yang disahkan juga sedang berlangsung. Sebaik sahaja mereka dikenal pasti, kementerian akan memantau rapi semua pihak yang mempunyai kaitan dengan mereka.

Setakat ini, seramai 115 kontak yang mempunyai hubungna rapat dengan pesakit positif sudah dikenal pasti.

Daripada 86 orang yang berada di Singapura, 75 daripadanya sudah dihubungi dan dikuarantin atau diasingkan.

Pihak kerajaan kini giat berusaha untuk menghubungi baki 11 lagi kontak.

Untuk membaca artikel lain berkaitan wabak Koronavirus, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca