Kes Kanak-Kanak Didakwa Wanita Dewasa Yang Psikotik Persis Filem ‘Orphan’, Ibu Kandung Tampil Beri Penjelasan

Pada September lalu, tular kejadian mengenai seorang kanak-kanak berbangsa Ukraine bernama Natalia yang didakwa sebenarnya merupakan seorang wanita dewasa. Malah, ibu dan bapa angkat kepada gadis kecil itu turut mendakwa bahawa Natalia sudah beberapa kali cuba membunuh mereka.

Kes Natalia menjadi tular pada September lalu selepas ibu bapa angkatnya, Kristine dan Michael Barnett ditahan atas tuduhan mengabaikan tanggungjawab.

Natalia dilaporkan mempunyai penyakit yang jarang ditemui mengakibatkan pertumbuhan fizikal gadis itu terbantut. Kristine dan Michael bersetuju untuk mengambil Natalia sebagai anak angkat selepas beranggapan Natalia berusia antara enam hingga lapan tahun.

Selain daripada tuduhan mengabaikan tanggungjawab, pasangan Barnett turut didakwa mengubah umur Natalia pada tahun 2012 iaitu daripada usia lapan kepada 22 tahun. Setelah itu, pasangan berkenaan berhijrah ke Kanada dan meninggalkan Natalia berseorangan di sebuah pangsapuri di Amerika Syarikat. Pihak pendakwaraya percaya bahawa ketika kejadian, Natalia memang benar-benar seorang kanak-kanak.

Kristine Barnett juga telah memberitahu Daily Mail Online dalam satu temu bual bahawa Natalia cuba untuk membunuh dia dan suaminya.

Susulan penularan kisah Natalia, seorang wanita yang mengaku sebagai ibu kandung kepada gadis itu tampil untuk memberikan penjelasan.

Dalam satu temu bual, wanita tersebut, Anna Volodymyrivna Gava memberitahu Daily Mail TV bahawa dia terpaksa memberikan Natalia yang masih bayi kepada pusat kebajikan 16 tahun yang lalu. Anna terpaksa berbuat demikian kerana dia telah bercerai dengan bapa remaja terbabit dan dia tidak mampu untuk menjaga Natalia yang sememangnya dilahirkan cacat.

“Anakku, maafkan ibu atas apa yang berlaku 16 tahun lalu. Ibu akan cuba datang melawat kamu.”

“Kami menunggu kamu. Kamu sudah mempunyai dua adik perempuan dan dua adik lelaki,” tambah Anna lagi.

Dalam temu bual yang sama, Anna dilihat menunjukkan dokumen yang membuktikan dia sememangnya telah menghantar Natalia ke pusat kebajikan pada Oktober 2003. Menurut Daily Mail TV, dokumen dan kata-kata Anna itu amatlah kuat untuk menyokong kenyataan bahawa Natalia adalah seorang remaja.

Natalia sudah tinggal di pusat kebajikan tersebut selama lima tahun sebelum satu pasangan Amerika mengambilnya sebagai anak angkat pada 2008.

“Mereka beritahu saya bahawa orang yang mengambil Natalia itu adalah orang baik. Mereka akan membayar segala perbelanjaan diperlukan Natalia. Selain itu, saya turut diberitahu pasangan itu akan membawa Natalia untuk menjalani pembedahan yang saya tidak boleh berikan padanya. Kos pembedahan tersebut dianggarkan berjumlah hampir RM335 ribu,” ujar Anna.

Walau bagaimanapun, Natalia telah dihantar semula ke pusat kebajikan tersebut pada tahun 2010. Dua tahun kemudian, pasangan Barnett mengambil Natalia sebagai anak angkat. Tiga tahun setelah itu, mereka meninggalkan gadis kecil tersebut dan berpindah ke Kanada tanpanya.

Pasangan Barnett dilaporkan kini sudah bercerai. Kristine menegaskan bahawa dia dan bekas suaminya telah ditipu oleh pihak jabatan kebajikan. Wanita itu berkata walaupun mereka meninggalkan Natalia seorang diri, mereka tetap membayar sewa bulanan unit pangsapuri tersebut meskipun tidak meninggalkan sebarang wang tambahan buat gadis itu.

Laporan terkini menyatakan bahawa Natalia kini sudah tinggal bersama sebuah keluarga paderi Katolik di Indiana. Keluarga tersebut dikatakan menjaga Natalia dengan baik sekali.

Sementara itu, Kristine dan Michael Barnett dibebaskan pihak berkuasa setelah mereka berjaya membayar ikat jamin polis.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca