Kes Joli Di London: Syed Saddiq Kata Ia Fitnah, Kelab Bunga Raya Beri 36 Jam Untuk Padam Status

Baru-baru ini, laman Facebook Friends of Barisan Nasional telah tampil mengeluarkan satu dakwaan mengenai Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di mana mereka dikatakan berjoli sakan di London selepas mendapat projek.

Pada masa yang sama, posting tersebut juga turut disertakan dengan satu foto memaparkan ahli-ahli ARMADA. Mereka dikatakan bercuti di London sewaktu rakan-rakan ARMADA lain sedang bertungkus-lumus berkempen di Tanjung Piai.

Seorang pengguna Facebook menggesa agar wakil ARMADA terutamanya Syed Saddiq tampil menjelaskan perihal sebenar berkenaan dakwaan yang dilemparkan oleh pihak pembangkang.

Tampil membidas dakwaan yang dianggap tidak berasas itu, Syed Saddiq telah memuat naik satu posting di laman Facebook di mana beliau menegaskan bahawa budaya fitnah bukan budaya ARMADA.

Menurut Menteri Belia dan Sukan itu, tiada kontrak yang diagihkan seperti yang dituduh dan beliau dimaklumkan bahawa laporan PDRM-SPRM akan dibuat oleh yang dituduh.

Difahamkan, saudara Muzzamil selaku wakil Kelab Bunga Raya dan Rafiq selaku wakil YPC sudah lama memaklumkan penyertaan mereka dalam Kongres yang sepatutnya dihadiri oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir di United Kingdom.

Dalam pada itu, Muzzamil turut tampil mengeluarkan kenyataan berkenaan dakwaan tersebut di laman Facebook milik beliau dan meminta agar pentadbir page berkenaan untuk memadam artikel yang berbaur fitnah itu. Dalam posting yang sama, Muzzamil mencoret sekiranya pentadbir page tersebut tidak berbuat demikian dalam masa 36 jam, tindakan undang-undang akan diambil melalui peguam yang bakal dilantik.

Dalam situasi ini, tuding menuding mungkin sahaja boleh berlaku tetapi tindakan Syed Saddiq yang tidak keanak-anakan dan berani berhadapan dengan permasalahan yang timbul adalah sikap yang wajar dicontohi.

Apa-apa pun, kita janganlah mudah untuk percaya apa-apa dakwaan yang tersebar di internet kerana pada zaman sekarang, sangat mudah untuk sesiapa pun menyebarkan berita palsu.

Artikel Lain Untuk Di Baca