Kes Jean Hilliard Yang Ditemui Beku Sebelum Kembali Bernyawa

20 Disember 1980

Jean Hilliard berusia 19 tahun ketika itu. Gadis itu sedang memandu perlahan pulang ke rumahnya di Lengby, Minnesota pada suatu malam dalam musim sejuk yang dingin selepas keluar bersama rakan-rakannya.

Tiba-tiba kereta yang dipandunya tergelincir di atas jalan berais yang licin, hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit. Mujurlah dia tidak apa-apa. Namun kereta Ford milik ayahnya itu telah rosak teruk.

Keadaan pada waktu itu pula sangat sejuk dengan suhu mencecah -22 darjah Celsius. Jean tidak mahu mati membeku di situ lantas dia keluar dari kereta dan mula berjalan bagi mencari bantuan.

Gadis itu berjalan menempuh salji tebal dengan susah payah menuju ke rumah Wally Nelson, kenalannya yang terletak kira-kira tiga kilometer dari kawasan itu.

Namun sebaik saja melihat cahaya lampu dari rumah Wally, pandangannya menjadi gelap.

Jean Beku

Pukul 7.00 pagi. Wally melangkah keluar dari rumahnya dan ternampak Jean yang kaku, dan beku seperti patung ukiran ais dengan mata terbuka luas di halaman rumahnya. Gadis itu rebah dalam kesejukan sebelum sempat mencapai pintu.

Pada mulanya, lelaki itu menyangka Jean sudah mati kerana tubuh gadis itu keras kejung dan wajahnya pucat seperti hantu.

Kemudian Wally melihat ada buih yang keluar daripada hidung Jean, menandakan gadis itu masih bernafas. Gadis itu segera dikejarkan ke hospital berdekatan.

Kes Perubatan Terpencil

Sampai di hospital, para doktor buntu bagaimana mahu menyelamatkan Jean. Pelbagai rawatan cuba diberikan namun gadis itu terus kaku, tidak memberi sebarang tindak balas dan denyutan nadinya begitu perlahan sekali.

Tubuhnya bersalut ais itu tidak lut dengan jarum suntikan dan termometer. Malah ada jarum yang patah. Akhirnya doktor membungkus tubuhnya dengan pelapik pemanas elektrik bagi meningkatkan suhu badannya.

Tiga jam kemudian, keajaiban berlaku apabila tangan dan lengan Jean mula mencair beku seperti ayam beku defrost. Suhu badannya turut semakin normal seperti sedia kala.

Sekitar pukul 1.00 tengah hari, gadis itu mula tersedar dan meminta air. Dia tidak tahu apa yang berlaku pada tubuhnya sepanjang tidak sedarkan diri. Apa yang diingatinya adalah dia tertidur dan terbangun di hospital. Namun Jean sempat risau memikirkan apa reaksi ayahnya apabila mendapat tahu kereta sudah rosak teruk.

Para doktor ketika itu amat terkejut melihat kejadian itu kerana ini kali pertama mereka mendapat kes pesakit seperti Jean. 49 hari kemudian, Jean meninggalkan hospital.

Sejak itu, dia tidak lagi memandu di atas jalan berais pada waktu malam.

Sebelum ini, kami pernah berkongsi tentang kisah coretan pertama seorang wanita ini sebaik sahaja dia hidup semula selepas disahkan meninggal oleh doktor. Anda boleh klik pada pautan di bawah untuk membaca artikel penuh:

Artikel Lain Untuk Di Baca