Kes Bunuh Zulfarhan, Diarah Bela Diri Belum Tentu Bersalah? Ini Penjelasan Peguam

Suasana pekarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu diselubungi rasa sedih dan kesyukuran sebaik sahaja mahkamah mengarahkan 18 daripada 19 tertuduh yang juga merupakan penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) untuk membela diri atas kes kematian yang membabitkan Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Sebaik sahaja keputusan itu diputuskan oleh Hakim Datuk Azman Abdullah, bapa kepada Allahyarham Zulfarhan Osman dilihat melakukan sujud syukur selepas keluar dari kamar mahkamah.

Pada masa yang sama, ibu arwah iaitu Hawa Osman menyifatkan keputusan itu sebagai satu jawapan buat doanya yang mahukan balasan setimpal diberikan kepada pesalah yang menyebabkan nyawa anak kesayangannya melayang.

Namun begitu, rata-rata masyarakat mula tertanya-tanya apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan ‘membela diri’? Malah, ada juga segelintir yang turut mempersoalkan sama ada keputusan itu akan membawa kesemua pesalah kepada hukuman yang telah ditetapkan.

Bagi menjawab segala persoalan yang bersarang dalam fikiran orang ramai di samping mengelakkan salah faham daripada berlaku, peguam Mohd Redzuan Mohamed Yusoff tampil memberikan penjelasan berhubung perkara ini.

Dipanggil membela diri tidak bermaksud bersalah

Hari ini, warganet dilihat gembira meraikan satu kes. Siap ada yang kata, “Padan muka!” Malah, ada juga portal yang tulis, “Didapati bersalah.” Agak pelik bila warganet yang selalunya pakar serba-serbi ini tidak perasan yang sebenarnya, belum ada hukuman dijatuhkan. Yang ada cuma dipanggil membela diri.

Perbicaraan 2 peringkat

Untuk semua kes jenayah, perbicaraan ada 2 peringkat.

Pertama: Peringkat Prima Facie

Pendakwaan perlu membuktikan kes ke atas tertuduh. Pendakwa perlu panggil semua saksi pendakwaan yang material.

Pada peringkat ni, OKT tidak akan memberi sebarang kenyataan. OKT cuma duduk diam-diam dalam kandang tertuduh. Yang beri kenyataan semuanya saksi pendakwa. Bila saksi pendakwa, mestilah semua kenyataan itu akan menunjukkan kesalahan terletak pada OKT.

Di sini selalu masyarakat kita membentuk persepsi. Pada peringkat ini, semua yang dinyatakan adalah daripada sebelah pihak sahaja.

Tugas peguam pada peringkat ini adalah untuk menunjukkan bahawa tidak ada bukti yang boleh mengaitkan OKT dengan jenayah yang dituduh sama ada dengan ketiadaan bukti, ketiadaan saksi, kenyataan saksi yang tak kuat dan banyak lagi.

Tugas peguam juga untuk menyebut apa-apa kejadian atau bukti dari sudut OKT. Sama ada fakta kejadian menurut OKT, alibi, kewujudan saksi bebas atau wujud pembelaan kepada kejadian. Contohnya, bunuh orang untuk tujuan bela diri.

Di hujung kes Prima Facie, mahkamah akan membuat penilaian sama ada pendakwaan berjaya membuktikan satu kes Prima Facie.

Sekiranya berjaya, Mahkamah akan ke Peringkat kedua.

Kedua: Peringkat Pembelaan

Pada peringkat ini, mahkamah telah menerima fakta pertuduhan. Tapi belum secara keseluruhan. Peringkat kedua ini mahkamah akan dengar kenyataan daripada OKT dan saksi-saksi pembelaan pula.

Pada peringkat ini, OKT boleh pilih antara tiga pilihan:

1. Berdiam diri. Mahkamah akan terus jatuhkan hukuman kerana kes dah terbukti dan tidak dijawab.

2. Beri keterangan di kandang tertuduh. Ini tidak kuat sebab kenyataan dia tidak boleh dicabar oleh pendakwaan. Ada satu kes dahulu di mana dia cuma cakap dalam kandang tertuduh, habis dituduh semua orang. Penerimaan mahkamah kepada kenyataan ini juga tidak kuat.

3. Kenyataan daripada kandang saksi dalam keadaan bersumpah. Yang ini kuat. Tapi berpeluh gara-gara kena gasak.

OKT juga boleh panggil saksi-saksi yang menyokong kenyataan OKT.

Habis sahaja kes pembelaan, mahkamah akan menilai semula kes secara keseluruhan.

Kenapa?

Kerana pada peringkat awal, walaupun peguam ada kata hal-hal yang menyokong OKT, ada kalanya ia tidak kuat. Mahkamah nak dengar daripada saksi.

Apabila saksi sudah dipanggil dan kenyataan itu menyokong dan membuktikan kenyataan OKT, mahkamah perlu bebaskan OKT. Jika tidak, maknanya kes Prima Facie pendakwaan itu kekal. Apabila kekal, baru mahkamah boleh sabitkan. Baru boleh jatuh hukum. Malah, mahkamah boleh buat pindaan kepada pertuduhan.

Adakah pembuktian Prima Facie ini dah menang kes? Tidak juga. Tapi ia sudah lebih daripada 50 peratus untuk menang. Bergantung kepada pembelaan yang digunakan. Tapi jangan lupa, ada pula proses rayuan.

Jadi dalam kes yang membabitkan Zulfarhan Osman Zulkarnain, kita baru dengar daripada sebelah pihak. Sekarang kita perlu mendengar daripada pihak satu lagi. Baru adil.

Ibaratnya sebegini, masa anda kecil-kecil dahulu, apabila bergaduh adik-beradik, tiba-tiba anda kena sebat memandangkan anda lebih tua. Jadi, mesti anda rasa tidak puas hati. Tak dapat bela diri tapi kena hukum, padahal adik yang buat hal.

Konsep dia sama. Kena dengar dua-dua belah pihak. Kena nilai pula kenyataan kedua-dua pihak. Baru buat keputusan.

Semoga perkongsian ini dapat menjawab segala persoalan yang bersarang dalam fikiran anda.

Artikel Lain Untuk Di Baca