Kes Buli Pangkalan Udara Kuantan, Polis Sahkan 4 Lagi Pelatih Dakwa Dipukul

Pihak polis mengesahkan terdapat empat orang lagi pelatih kursus Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendakwa dipukul dalam kejadian buli di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang pada 12 April lalu.

Memetik laporan BH Online, keempat-empat pelatih yang menjalani kursus latihan sama dengan pengadu mendakwa mereka telah dipukul oleh anggota TUDM yang lebih senior ketika dipanggil untuk membantu siasatan kes buli yang dilaporkan oleh keluarga seorang pelatih lebih awal.

Polis jalankan siasatan lanjut

Gambar tertuduh. Sumber: Twitter

Ketua Polis Pahang iaitu Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata siasatan lanjut masih dijalankan pada masa ini termasuk mendapatkan laporan perubatan.

“Siasatan setakat ini turut mendapati ada empat lagi pelatih kursus latihan sama dipukul dalam kejadian itu.

Setakat ini, enam orang suspek sudah dikenal pasti dan sudah dipanggil bagi tujuan siasatan kerana disyaki terbabit dalam kes ini,” jelas Ramli kepada BH Online pada hari ini.

Dalam pada itu, Ramli berkata tindakan siasatan termasuk merakamkan percakapan saksi bebas sedang dilaksanakan pada masa ini.

“Selain itu, polis turut mendapatkan laporan penuh perubatan terhadap mangsa-mangsa yang mendakwa dibuli bagi melengkapkan siasatan.

Sebaik kertas siasatan dikemas kini, pihak polis akan merujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” tambahnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan

Luahan kakak mangsa. Sumber: Twitter

Kes ini juga sedang disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan di atas kesalahan menyebabkan kecederaan dengan sengaja.

Dalam luahan di Twitter yang tular baru-baru ini, seorang wanita mendakwa adik lelakinya telah dibuli di pusat latihan tentera udara.

Wanita berkenaan turut berkongsi gambar beberapa orang anggota tentera berpangkat koperal yang didakwa telah membuli adiknya ketika menjalani latihan.

Luahan kakak mangsa. Sumber: Twitter

Bapa mangsa kemudiannya memfailkan laporan polis berhubung kes buli yang berlaku ke atas anaknya. Apa pendapat anda?

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca