Kes Bella, Pemilik Rumah Bonda Ditahan Polis Untuk Siasatan Lanjut

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur sudah pun menolak permohonan polis untuk menahan reman pengasas dan juga pemilik Rumah Bonda bagi membantu siasatan selepas wanita itu disyaki terlibat kes penderaan Bella.

Memetik laporan Malaysiakini, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman iaitu Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan menjelaskan bahawa permohonan reman terhadap suspek ditolak mahkamah dan wanita itu dibebaskan tengah hari tadi.

Siti Kamsiah bagaimanapun menjelaskan bahawa siasatan kes itu masih diteruskan seperti biasa. Siasatan tidak terhenti atau ditutup.

Terdahulu, pemilik Rumah Bonda berusia 29 tahun itu ditahan semalam selepas diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan kes mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.

Sumber: OhBulan!

Memetik laporan Harian Metro, Siti Kamsiah menjelaskan bahawa kertas siasatan baharu telah dibuka dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan.

Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan jenayah. Pihak polis turut mengemukakan permohonan reman ke atas pemilik Rumah Bonda itu pagi ini di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, pihak polis meminta masyarakat untuk terus memberi keyakinan kepada pasukan penyiasat PDRM untuk melaksanakan tugas mereka.

Buat anda yang masih keliru, seorang remaja sindrom Down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella dipercayai telah didera di sebuah pusat kebajikan milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Melalui perintah mahkamah yang dikeluarkan 5 Julai lalu, rumah kebajikan yang terletak di Jalan Kukuban dekat Taman Setapak, Kuala Lumpur turut dikenakan sita.

Pihak Pelindung Unit Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut mengambil tindakan terhadap enam kanak-kanak lain dengan mengeluarkan mereka daripada rumah kebajikan tersebut.

Namun, apa yang lebih mengejutkan adalah rumah kebajikan ini didapati sudah beroperasi secara haram sejak 2019 dan tidak berdaftar dengan JKM.

Sementara itu, tinjauan kami di laman Twitter mendapati rata-rata warganet bersimpati dengan nasib remaja itu dan berusaha untuk memastikan Bella mendapat keadilan sewajarnya:

Bella kini ditempatkan di Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah dekat Seremban, Negeri Sembilan. Kami mendoakan Bella akan mendapat keadilan yang sewajarnya dan perkara seperti ini tidak berulang lagi pada masa hadapan.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca