Kes Basikal Lajak, Jurujual Wanita Ini Kekal Dibebas Dan Dilepaskan Daripada Tuduhan Memandu Melulu

Mahkamah Majistret Johor Bahru mengekalkan keputusan untuk membebaskan dan melepaskan seorang jurujual wanita daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan pemergian lapan orang remaja berbasikal lajak pada tahun 2017.

Memetik laporan Kosmo, mahkamah yang sama telah melepaskan dan membebaskan Sam Ke Ting tanpa memanggilnya untuk membela diri selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan pada tahun 2019.

Keputusan itu diputuskan oleh Majistret Siti Hajar Ali yang membacakan keputusan kes di akhir pembelaan selepas tertuduh diarahkan membela diri oleh Mahkamah Tinggi pada Februari lalu.

Sumber: Kosmo

Siti Hajar yang membuat keputusan itu sebelum ini sekali lagi memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap tertuduh di akhir kes pembelaan.

Menurut laporan BH Online, Siti Hajar dalam keputusannya berkata mahkamah memutuskan bahawa ia adalah tidak selamat baginya untuk mensabitkan tertuduh atas pertuduhan yang dihadapinya.

“Selepas meneliti segala keterangan yang dikemukakan dan menimbang semua hujahan Timbalan Pendakwa Raya dan peguam bela tertuduh di akhir kes pembelaan, timbul keraguan munasabah dalam minda saya.

Oleh itu, ia diputuskan bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes ini melampaui keraguan munasabah. Atas sebab itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan di akhir kes pembelaan,” katanya.

Dalam pada itu, Siti Hajar berkata alasan terhadap keputusan itu mengambil kira keterangan tertuduh yang tidak ada pengetahuan terhadap aktiviti basikal lajak di lokasi kejadian pada pukul tiga pagi adalah munasabah.

“Tertuduh menyatakan beliau tidak tahu ada aktiviti basikal lajak pada waktu malam dan tiada sebarang amaran terhadap aktiviti berkenaan di situ.

Keterangan tertuduh bahawa beliau berada di lorong paling kiri lokasi kejadian iaitu Jalan Lingkaran Dalam juga bertepatan dengan hasil kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Hasil kajian MIROS mendapati kenderaan tertuduh sama ada dipandu pada kelajuan 44.5 kilometer sejam atau 75.8 kilometer sejam. Lokasi kejadian itu juga mendaki bukit yang berselekoh dengan keadaan yang gelap.

Tertuduh menyatakan beliau tidak nampak ada kumpulan basikal lajak yang memenuhi ketiga-tiga lorong jalan iaitu di bahu, tepi dan tengah jalan di sebalik selekoh berbukit itu.

Terdapat keraguan identiti pemandu sebenar kereta yang didakwa dipandu tertuduh kerana terdapat kemungkinan munasabah tertuduh menumpang kereta yang dipandu rakan memandangkan ada saksi mata kewujudan seorang lelaki Cina di lokasi kejadian yang didakwa rakan tertuduh,” katanya.

Mahkamah turut mengarahkan lesen memandu tertuduh yang sebelum ini digantung untuk dikembalikan semula kepadanya dengan serta-merta.

Sumber: BH Online

Pada 18 Februari lalu, Mahkamah Tinggi mengarahkan Ke Ting yang dibebas dan dilepaskan daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan pemergian lapan orang remaja berbasikal lajak empat tahun lalu untuk membela diri.

Hal ini demikian kerana Pesuruhjaya Kehakiman, Dr. Shahanaz Sulaiman dilaporkan membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh dan sekali gus mengenepikan perintah dibuat Mahkamah Majistret pada Oktober 2019 untuk melepas dan membebaskan Ke Ting.

Untuk rekod, Ke Ting didakwa telah menyebabkan pemergian Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda serta lesen memandu digantung sekiranya disabit kesalahan.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan kes basikal lajak, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca