Kerugian Lebih RM1.4 Juta, Penternak Ikan Di Pahang Terkesan Akibat Banjir

banjir pahang

Sebanyak 73 penternak ikan air tawar di lima daerah negeri Pahang mengalami kerugian lebih RM1.4 juta susulan kejadian banjir sejak Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar menerangkan bahawa kerugian penternak akuakultur di negeri itu dijangka terus meningkat.

Jangkaan jumlah kerugian akan terus bertambah sekiranya banyak lagi kolam dan sangkar musnah di beberapa kawasan seperti Temerloh, Bentong, Jerantut, Maran, Lipis dan Pekan.

Tambahnya lagi, tempat ternakan ikan yang dijaga serta diuruskan oleh ahli dalam komuniti di Estet Ikan Paya Chempaka (15 hektar), Estet Ikan Paya Lanar (25 hektar) dan Estet Ikan Paya Lubuk Kawah (31 hektar), Temerloh telah ditenggelami banjir.

Ini juga menyebabkan ikan terlepas dan keluar daripada tasik berkenaan.

Selain dibawa arus air yang deras, kebanyakan sangkar ikan sepanjang Sungai Pahang ini turut musnah akibat ditimpa pokok tumbang.

Berkemungkinan jumlah sebenar kerugian adalah lebih tinggi apabila selepas semua aduan dan penilaian dibuat setelah banjir surut sepenuhnya nanti.

“Justeru, saya berharap penternak akuakultur dan juga nelayan darat dapat melaporkan butiran kerugian aktiviti perikanan mereka akibat bencana banjir kepada Jabatan Perikanan selepas ini,” jelas Abdullah Jaafar.

Pihak jabatan bersimpati dengan apa yang dialami penternak dan pengusaha akuakultur di negeri ini dan berharap mereka bertabah serta sabar dalam menghadapi ujian yang tidak dijangka itu.

Pengeluaran akuakultur dan perikanan sungai di Pahang adalah yang tertinggi di Pantai Timur dengan kira-kira 15,000 tan bernilai lebih RM246 juta bagi akuakultur. Manakala lebih kurang 787 tan bernilai kira-kira RM11.5 juta bagi perikanan sungai.

Tahun lalu jumlah penternak akuakultur yang berdaftar di negeri Pahang adalah seramai 1,700 orang serta nelayan darat seramai 380 orang.

Pihaknya akan melaksanakan semakan sebelum mengemukakan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi pertimbangan bantuan melalui Tabung Bencana Pertanian (TBP).

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca