Sedap dan unik. Itu adalah antara perkataan yang terpacul daripada mulut sesiapa sahaja yang memakannya. Keropok lekor yang terkenal di negeri Pantai Timur khususnya di negeri Terengganu menjadi kegilaan dan kesukaan ramai. Namun, masih ada sesetengah yang keliru dengan namanya dan memanggilnya sebagai keropok Losong.
Di Terengganu, Losong sebenarnya ialah nama sebuah tempat yang menjadi tumpuan penggemar keropok lekor kerana telah menjadi pengeluar keropok yang terkenal di negeri itu sejak dulu lagi. Manakala, keropok lekor adalah nama sebenar makanan itu.
Bermula daripada ikan segar yang kemudiannya direbus isi dan diadun bersama tepung sagu, begitulah antara proses pembuatan keropok lekor yang sedap dimakan rebus atau digoreng. Keropok lekor kebiaasaannya dibuat daripada beberapa jenis ikan seperti ikan parang, ikan tamban dan ikan selayang.
Ramai yang mengatakan bahawa keropok ikan tamban adalah yang paling sedap dan sesuai dijadikan keropok namun itu bergantung kepada cita rasa masing-masing.
Keropok lekor yang dipotong isinya menjadi nipis dan kemudiannya dijemur di bawah pancaran matahari dikenali sebagai keropok keping. Ia kemudiannya digoreng dan enak dimakan bersama nasi kerabu, nasi goreng, bihun goreng atau dimakan begitu sahaja. Kesedapannya bertambah jika dicicah bersama sos pencicah yang sedap.
Keropok boleh didapati di mana-mana tempat di Terengganu. Jika anda ke Terengganu, anda akan mendapati terdapat banyak gerai atau kedai yang menjual keropok. Namun, di manakah tempat terbaik untuk mendapatkan keropok asli yang sedap?
Terdapat beberapa tempat yang terkenal dalam kalangan penggemar keropok seperti di Pasar Payang, Seberang Takir dan Losong. Keropok keping yang sedap pula boleh didapati di Kampung Pengkalan Setar dan tempat-tempat lain yang menjual keropok.
Keropok masih menjadi menu pilihan rakyat di negara ini walaupun kini ia telah berevolusi mengikut peredaran zaman dan cita rasa ramai. Pengusaha keropok kini kreatif menghasilkan dan mempelbagaikan produk itu dengan mencipta resepi baru seperti keropok lekor cheese, keropok berperisa lada hitam dan sebagainya.
Bagi memudahkan penggemar keropok lekor yang tinggal di luar negeri atau jauh dari Pantai Timur, keropok vakum menjadi pilihan. Keropok vakum adalah keropok lekor yang dibungkus dalam plastik kedap udara di mana ia mampu bertahan selama beberapa hari dalam proses penghantaran tanpa menjejaskan kualiti dan rasa keropok.
Proses penghasilan keropok mengambil masa yang agak lama, justeru dengan adanya teknologi, ia mampu membantu memudahkan dan mempercepatkan proses pembuatan keropok. Mesin keropok yang direka khas membantu pengusaha mendapatkan saiz keropok yang sama selain tidak memerlukan tenaga kerja yang ramai.
Keropok lekor merupakan salah satu warisan resepi peninggalan nenek moyang yang harus diangkat. Rasanya yang enak dan unik bukan sahaja mampu menjadi daya tarikan pelancong dari dalam malah juga dari luar negara.
Dengan adanya promosi yang giat di samping sokongan daripada pihak-pihak tertentu, ia mampu menjadi sumber pendapatan kepada pengusaha dan menjadi faktor pelancongan yang baik kepada negara. Jadi, jika anda berkesempatan ke Pantai Timur, jangan lupa untuk mencuba keenakan keropok lekor.
Penulis
- Nurul Nuraina Binti Anuar adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
- Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.