Sebuah kereta terbang yang mampu mencapai kelajuan melebihi 160 kilometer sejam dan ketinggian melebihi 2.5 kilometer dilaporkan menerima sijil kelayakan udara oleh Pihak Berkuasa Pengangkutan Slovakia.
Kereta terbang hibrid milik syarikat Klein Vision AirCar itu dianugerahkan sijil tersebut selepas berjaya melepasi 70 jam ujian penerbangan yang ketat mengikut piawaian Agensi Keselamatan Penerbangan Eropah (EASA).
Sebanyak 200 pelepasan dan pendaratan yang dilakukan ketika ujian itu dijalankan.
“Pensijilan AirCar menjadi titik tolak kepada pengeluaran kereta terbang yang sangat cekap secara besar-besaran.
“Ia adalah rasmi dan keupayaan kami akhirnya disahkan untuk mengubah perjalanan jarak jauh,’’ kata penciptanya, Profesor Stefan Klein.
Dengan dilengkapi enjin Bavarian Motor Works (BMW) serta menggunakan petrol sebagai bahan api, ia mengambil masa selama dua minit dan 15 saat untuk bertukar daripada kereta menjadi sebuah pesawat.
Kenderaan itu boleh terbang pada ketinggian operasi maksimum 18,000 kaki.
Pada Jun tahun lalu, kereta terbang itu dilaporkan berjaya menamatkan penerbangan selama 35 minit dari lapangan terbang antarabangsa yang terletak di bandar Nitra ke bandar Bratislava, Slovakia.
Ia dikatakan berlepas dan mendarat seperti pesawat konvensional serta memerlukan lesen juruterbang untuk diterbangkan.
Bagaimanapun, beberapa syarikat sedang berusaha mewujudkan perkhidmatan teksi udara dengan penerbangan automatik tanpa pemandu serta pelepasan dan pendaratan menegak (VTOL) iaitu tanpa landasan.
Harapan mereka bahawa penciptaan kereta terbang ini boleh menggantikan helikopter pada suatu hari nanti.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: