“Kereta Terbang Bukan Wawasan 2020.” – Tun Dr. Mahathir

Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad tampil membuka mulut tentang kereta terbang yang kini menjadi topik perbualan dalam kalangan masyarakat. Menurut Tun Dr. Mahathir, meskipun kereta terbang dianggap sebagai kemajuan teknologi, ia sama sekali tidak tersenarai dalam Wawasan 2020 yang beliau ilhamkan 29 tahun lalu.

Wawasan 2020 itu sebaliknya menekankan sembilan aspek atau dalam erti kata lain, cabaran-cabaran yang perlu diatasi dalam usaha menjadikan Malaysia diiktiraf sebagai sebuah negara maju.

“Wawasan 2020 ialah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju,” kata Tun Dr. Mahathir.

“Untuk menjadi negara maju ini, kita hendaklah mengatasi sembilan cabaran Wawasan 2020, iaitu negara yang bersatu; berjiwa bebas; demokratik; bermoral dan beretika; liberal; progresif dan saintifik; penyayang; adil dalam bidang ekonomi; serta makmur.”

“Inilah tujuan kita, yang mana kalau kita capai tujuan sembilan ini, maka kita akan dianggap negara maju,” kata beliau menerusi satu temu bual eksklusif bersama radio Kool FM yang ke udara pagi ini.

Selain itu, Tun Dr. Mahathir turut menegaskan yang negara juga perlu mencapai kemajuan dalam bidang-bidang lain seperti pelajaran, teknologi, sosial, ekuiti dan sebagainya.

Tambah beliau lagi, negara kita kini pada hakikatnya telah berjaya mencapai banyak kemajuan dan perubahan jika dibandingkan sewaktu wawasan itu dilancarkan pada tahun 1991.

“Walaupun kita tidak capai sepenuhnya, tapi sedikit sebanyak kita capai Wawasan 2020. Kalau dibandingkan Malaysia hari ini, 2020 dan Malaysia pada waktu kita melancarkan wawasan ini, 1991, kita akan lihat perbezaannya.”

“Rakyat lebih makmur, negara lebih makmur dan pembangunan sudah terlihat jelas di seluruh negara. Infrastruktur juga jauh lebih baik. Tetapi kita belum sampai tahap negara maju kerana ada bidang tertentu kita ketinggalan. Inilah menyebabkan kita akui tidak mencapai Wawasan 2020,” kata beliau lagi.

Sehubungan itu, Tun Dr. Mahathir berharap agar masyarakat dapat memahami dengan lebih mendalam konsep sebenar wawasan tersebut.

“Saya harap tidak ada pihak lagi yang bercakap Wawasan 2020 ini bermakna ada kereta bermotor boleh terbang. Itu bukan wawasan kita.”

“Itu adalah kemajuan yang dicapai di negara lain, tidak berbentuk kereta tetapi berbentuk satu kenderaan yang boleh terbang dan boleh membawa orang di dalamnya dan merupakan satu jenis dron.”

“Itulah yang telah dicapai di negara lain. Tetapi di Malaysia, kita boleh lihat kenderaan seperti ini di kemudian hari,” jelas beliau.

Sebelum ini, kami pernah berkongsi tentang perkara-perkara yang Tun Dr. Mahathir bangunkan dan masih menjadi kebangaan sehingga ke hari ini. Anda boleh klik pada pautan di bawah untuk membaca artikel tersebut:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca