Kereta Hangus Terbakar Gara-Gara Tertinggal Power Bank

Malang sememangnya tidak berbau. Itulah ungkapan paling sesuai untuk menggambarkan nasib yang menimpa seorang pelajar Universiti Awam apabila dia mengalami kerugian ribuan ringgit selepas kereta Perodua Kancil miliknya musnah dalam kebakaran berpunca daripada power bank yang ditinggalkan di dalam kenderaan tersebut.

Memetik laporan portal Berita Harian, insiden ini berlaku di Taman Bersatu, Arau sekitar jam 1.40 tengah hari Ahad.

Menurut seorang saksi yang enggan dikenali, kereta yang diletakkan di luar rumah sewa pemiliknya mula mengeluarkan asap dari dalam.

“Pemilik melihat kereta terbabit mula mengeluarkan asap dari dalam dan mendapati power bank yang ditinggalkan di dalam kereta itu terbakar,” kata seorang saksi.

“Dia cuba memadamkan kebakaran namun tidak berjaya sehinggalah rakan-rakannya menghubungi pihak bomba bagi mengawal kebakaran,” katanya lagi.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis memberitahu yang pihaknya menerima panggilan dari Pusat Gerakan Operasi (PGO) kecemasan pada jam 1.59 tengah hari dan tiba di lokasi lima minit kemudian.

“Seramai tujuh anggota yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) Rosnani Abu Seman dengan satu jentera pemadam kebakaran dikerahkan ke lokasi kejadian,” kata jurucakap tersebut.

“Api berjaya dikawal pada jam 2.35 petang dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya lagi.

Sebelum ini, kami pernah berkongsi tentang barangan yang anda perlu elak daripada disimpan di dalam kereta. Anda boleh klik pada pautan di bawah untuk membaca perkongsian tersebut:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca