Kereta Bawa Mercun Bola Meletup, Pemandu Ini Maut

Seorang lelaki berusia sekitar 50-an dilaporkan meninggal dunia setelah kereta yang dipandunya meletup di persimpangan lampu isyarat di Kampung Sireh, Kota Bharu pada 5:30 petang Jumaat (21 Mei) semalam.

Letupan tersebut telah menyebabkan lima lagi kerosakan pada kenderaan berhampiran, termasuk sebuah kereta yang didapati terbakar.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat memaklumkan bahawa hasil siasatan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan mendapati bahawa kereta yang meletup tersebut membawa mercun bola.

Pemandu kereta yang meletup tersebut, Wan Hassan Wan Ali, telah disahkan meninggal dunia. Kereta yang dipandunya juga terputus dua akibat daripada letupan tersebut.

Hasil letupan yang kuat tersebut telah menyebabkan badan mangsa tercampak sehingga 20 meter daripada keretanya itu. Tangan dan kakinya juga dikatakan telah terputus.

Datuk Shafien Mamat berkata bahawa empat orang mangsa lain turut cedera, termasuk seorang anggota polis dan mereka semua telah dibawa ke hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan lanjut.

Siasatan awal mendapati bahawa sebuah kereta Proton Saga telah membawa mercun bola dalam kuantiti yang banyak dan telah meletup secara tiba-tiba sehingga menyebabkan beberapa kereta di sekitarnya turut terbakat.

Punca sebenar kejadian tersebut masih disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Isteri mangsa, Faridah Husin, 49, yang turut berada di sekitar kawasan kejadian mengesahkan mangsa tersebut sebagai suaminya.

Seorang saksi kepada kejadian tersebut, Mohd Khairul Anwar Mohd Zin, 42, terdengar bunyi letupan yang kuat dan menyangkakan itu adalah bunyi bom.

Namun, setelah bergegas keluar daripada restorannya itu, dia mendapati beberapa buah kereta yang ‘bergelimpangan’ dan salah satu daripadanya terbakar.

Seorang penduduk, Salmah Awang, 45, turut menjelaskan bahawa dia sedang berada di hadapan rumahnya yang berjarak kira-kira 400 meter dari tempat kejadian.

Pada mulanya, suri rumah terbabit terkejut apabila terdengarkan bunyi dentuman dan gegaran kuat akibat dari letupan dan menyangkakan Malaysia telah diserang pengganas seperti di Palestin.

Kesan letupan daripada kenderaan tersebut juga telah menyebabkan pintu dan tingkap kaca masjid serta kedai-kedai berhampiran turut pecah.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca