Keranda Jenazah COVID-19 Terbuka Semasa Mahu Dikebumi Bikin Keadaan Jadi Huru-Hara

Baru-baru ini, tular di media sosial satu video memaparkan proses pengebumian pesakit COVID-19 di Sumatera Selatan, Indonesia yang bertukar menjadi huru-hara apabila perkara yang tidak disangka berlaku.

Dalam rakaman tersebut, sekumpulan pasukan medik dilihat sedang melakukan prosedur bagi mengebumikan jenazah pesakit yang menemui ajal akibat jangkitan wabak COVID-19 itu. Jenazah berkenaan dibalut di dalam sarung berwarna oren dan diletakkan di dalam sebuah peti keranda kayu.

Namun begitu, penutup keranda itu tiba-tiba terbuka sewaktu mereka sedang menurunkannya ke dalam liang lahad menggunakan tali. Keadaan itu sekali gus membuatkan jenazah tersebut terkeluar dari keranda.

Keadaan terus bertukar menjadi huru-hara dan tidak terkawal selepas kejadian itu berlaku. Pada masa yang sama, kedengaran suara seorang wanita yang marah dan bertindak menengking pihak medik kerana tidak berbuat apa-apa bagi menyelamatkan jenazah itu daripada terjatuh.

Kemudian, orang kampung yang berpakaian biasa (tanpa mengenakan pakaian lengkap PPE) dilihat turun ke dalam liang lahang bagi membantu menguruskan jenazah dan memasukkannya semula ke dalam keranda.

Turut kedengaran suara tangisan yang dipercayai ahli keluarga mangsa yang menemui ajal pada usia 57 tahun itu. Difahamkan, kejadian ini berlaku pada 22 Mei lepas tetapi video tersebut baru mula tular sejak beberapa hari yang lepas.

Menurut individu yang mengetuai tugas pengendalian pesakit COVID-19 iaitu Junaidi Anuar, pasukan tersebut telah dilatih dan melakukan proses simulasi sebelum itu. Walau bagaimanapun, insiden itu membuktikan bahawa mereka perlu berlatih lagi bagi mengelakkan kejadian sama daripada berlaku pada masa yang akan datang.

“Sebelum pelaksanaan, pasukan telah diberikan taklimat dan dilakukan simulasi serta sama-sama melihat video proses pengebumian yang telah dilakukan daerah lain.

Namun begitu, kami sedar bahawa semua itu masih tidak cukup. Justeru, kami akan memperbanyakkan lagi latihan pengendalian supaya perkara sebegini tidak berlaku lagi,” kata Junaidi Anuar.

Untuk membaca artikel-artikel lain berkenaan kisah pengebumian mangsa COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca