‘Keranda’ Buat Si Hidup, Tiub Plastik Jadi Perlindungan Dari Koronavirus

Satu rakaman video pendek memaparkan seorang individu yang dipercayai telah dijangkiti Koronavirus dibawa ke hospital di dalam sebuah tiub plastik yang ditutup mula tersebar di internet.

Dipercayai dilakukan sebagai cara pencegahan penyebaran virus, sepasukan doktor yang berpakaian sut hazmat dilihat kemudiannya membawa mangsa ke sebuah pusat perubatan di Huizhou, Guangdong, China

Setakat ini, Koronavirus sudah meragut 17 nyawa dan menjangkiti 530 yang lain di China.

Laporan rasmi pula menyatakan sekurang-kurangnya 20 orang pakar perubatan di negara sama sudah dijangkiti virus tersebut semasa sedang merawat pesakit.

Seramai 26 orang di daerah Guangdong disahkan sudah dijangkiti Koronavirus dengan tiga daripadanya kini berstatus kritikal.

Sementara itu, bandar Huizhou pula baru merekodkan kes jangkitan pertama virus berbahaya itu pada Isnin lalu.

Meskipun Koronavirus tersebar dalam kadar yang pantas, World Health Organisation (WHO) mendedahkan hari ini, bahawa mereka membuat keputusan untuk tidak mengisytiharkan kecemasan dunia buat masa ini.

Wuhan, yakni bandar bermulanya penyebaran wabak terbabit sudah dikuarantinkan. Lapangan terbang dan pengangkutan awam walau bagaimanapun, dijangka akan ditutup sepenuhnya pada jam 10 pagi ini.

Walaupun perayaan Tahun Baru Cina yang hanya berbaki dua hari lagi, penduduk di daerah itu dinasihatkan untuk tidak melancong dan berkumpul beramai-ramai di tempat awam untuk mengelakkan penyebaran virus berbahaya itu.

Menurut laporan, wabak Koronavirus dipercayai bermula di sebuah pasar makanan laut di sebuah bandar yang menjual haiwan liar hidup secara haram. Penyakit berkenaan kemudiannya disyaki tersebar melalui Sungai Yangtze.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kesihatan Nasional, Li Bin memberi amaran kepada masyarakat dunia untuk tidak melancong ke Wuhan.

Satu festival sempena sambutan Tahun Baru Cina yang dijadualkan berlaku pada 24 Januari 2020 yakni hari Jumaat sudah dibatalkan.

“Jangan pergi ke Wuhan. Sesiapa yang di Wuhan pula, tolong jangan tinggalkan bandar. Meskipun cara penyebaran virus masih belum diketahui, terdapat kebarangkalian ia boleh bermutasi dan tersebar lebih jauh” ujar Li Bin.

“Jika tiada keperluan, kami cadangkan agar orang ramai tidak datang ke Wuhan,” ujar Datuk Bandar Zhou Xianwang pula.

Untuk membaca artikel lain berkaitan negara China, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca