Gara-gara telefon bimbit, seorang remaja perempuan berusia 14 tahun bersama teman lelakinya sanggup membunuh abang sendiri kemudian membungkus mayat mangsa sebelum dicampakkan di belakang sebuah rumah kosong.
Kejadian ini berlaku di Taman Glenview, Kamunting, Taiping. Mangsa berusia 16 tahun dipercayai dibunuh adik perempuannya bersama teman lelaki berusia 15 tahun di rumahnya.
Menurut laporan SINAR HARIAN, motif pembunuhan mungkin berpunca daripada pergaduhan mangsa dengan teman lelaki suspek sewaktu hendak mengambil telefon bimbit yang tertinggal di rumah itu pada 5 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, lebih kurang jam 12.16 tengah hari, pihaknya menerima panggilan daripada jiran mangsa mengatakan ada penemuan mayat mangsa di luar belakang sebuah rumah di lokasi kejadian.
“Siasatan awal polis mendapati mangsa dipercayai dibunuh adik perempuan dan teman lelakinya di rumah mangsa susulan kedua-dua suspek mengaku membunuh mangsa”.
Osman berkata, siasatan unit forensik polis menemui pisau yang digunakan suspek dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat.
Tambahnya lagi, mengikut keterangan kedua-dua suspek, mereka dipercayai mengelar leher mangsa dan kedua pergelangan tangan mangsa dengan plastik untuk membunuhnya.
Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan polis di rumah mereka pada jam 4.25 petang untuk siasatan lanjut.
Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.