Kerana Sambutan Yang Menggalakkan, FAM Tambah 2,000 Tiket Untuk Perlawanan Malaysia Menentang Myanmar Sabtu Ini

Sambutan yang amat menggalakkan daripada penyokong bola sepak Malaysia terbukti selepas kuota 12,000 tiket yang dijual secara online dan di cawangan terpilih Al-Ikhsan Sports kini sudah habis dijual.

Susulan itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil langkah  pantas dengan menambah sejumlah 2,000 keping tiket perlawanan terakhir kumpulan A Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia menentang Myanmar di Stadium Nasional, Bukit Jalil  24 November 2018 sabtu ini.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata penyokong Harimau Malaya boleh mendapatkan tiket berharga RM20 (tempat duduk terbuka) di cawangan Al-Ikhsan Sports atau pembelian dalam talian di www.tickethotline.com.my bermula 18 November 2018 (Ahad).

Selain itu, FAM turut mengambil inisiatif tambahan bagi memudahkan para penyokong Harimau Malaya membeli tiket dengan membuka kaunter khas di Wisma FAM, Kelana Jaya bermula Selasa ini (20 Nov) hingga Khamis (22 Nov) Jam 10 pagi hingga 5 petang.

FAM juga dalam perbincangan dengan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bagi mendapatkan kebenaran membuka kaunter jualan tiket di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa ini bersempena dengan cuti umum Maulidur Rasul bagi memberi lebih pilihan kepada penyokong Harimau Malaya membeli tiket lebih awal. Walau bagaimanapun maklumat lanjut akan dimaklumkan dalam masa terdekat selepas mendapat pengesahan.

Kaunter tiket di Stadium Nasional, Bukit Jalil akan dibuka seperti biasa iaitu pada hari Jumaat (23 Nov) dari 10 pagi hingga 5 petang dan juga pada hari perlawanan iaitu Sabtu (24 Nov) bermula dari 10 pagi hingga sepak mula perlawanan.

Harga tiket bagi perlawanan itu bernilai RM20 bagi tempat duduk terbuka, RM30 bagi tempat duduk grandstand dan RM5 bagi tiket kanak-kanak.

Stuart turut berharap agar penyokong Harimau Malaya dapat membanjiri stadium untuk memberi sokongan kepada skuad Malaysia.

“FAM berharap para penyokong Harimau Malaya dapat hadir beramai-ramai pada perlawanan ini kerana skuad Harimau Malaya memerlukan kemenangan ke atas Myanmar untuk melangkah ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2018 dan sudah tentu, kelebihan beraksi di gelanggang sendiri perlu dimanfaatkan dengan bantuan sorakan padu daripada puluhan ribu penyokong Harimau Malaya.”

Jadi penyokong Harimau Malaya  yang masih belum mendapatkan tiket perlawanan boleh dapatkannya harini. Semoga kemenangan milik pasukan Malaysia.

Selamanya Harimau Malaya!

 

Sumber: Utusan

 

 

 

 

Artikel Lain Untuk Di Baca