Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa atau lebih tepat dalam hal ini, Caprice yang binasa. Semuanya bermula apabila penyanyi rap tersebut didakwa telah melakukan penghinaan terhadap rakyat negeri Cik Siti Wan Kembang menerusi posting di laman Instagramnya.
Kumpulan Anak Kelantan Prihatin sebelum ini menggesa pihak polis untuk menjalankan siasatan ke atas Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli kerana mengatakan rakyat Kelantan tiba-tiba pandai bahasa Inggeris dengan menghadiri ceramah penceramah bebas, Dr Zakir Naik di Stadium Sultan Muhammad IV baru-baru ini.
Menurut Norlida Daud selaku jurucakap kumpulan tersebut, kenyataan tidak berasas yang keluar daripada mulut artis itu sekali gus telah menyinggung perasaan rakyat Kelantan.
Pada ruangan komen Instagramnya, Caprice telah mencoret komen yang menghina rakyat Kelantan dengan mengatakan Kelantan merupakan negeri yang mencatat masalah dadah, pembuangan bayi dan pedophilia paling tinggi berbanding negeri-negeri lain.
Sebagai pencinta keamanan, rata-rata rakyat negeri itu amat risau sekiranya tindakan tersebut bakal mengundang suasana tidak baik dan persepsi buruk terhadap masyarakat Kelantan.
Sehubungan itu, beberapa laporan polis telah dibuat oleh Norlida dan ahli persatuan kumpulan tersebut bagi menggesa pihak berkuasa melakukan siasatan ke atas Caprice termasuklah tujuan sebenar beliau mengeluarkan kenyataan yang amat dangkal sedemikian dan mengambil tindakan yang sewajarnya.
View this post on InstagramA post shared by IGKELANTAN ™ (@igkelantan) on
Setelah perkara tersebut tular, Caprice bertindak memuat naik permohonan maaf secara terbuka di laman Instagramnya. Terdapat beberapa perkara yang disentuh menerusi posting tersebut termasuklah menyifatkan @igkelantan sebagai batu api kerana mengambil video tersebut tanpa kapsyen sekali.
View this post on InstagramA post shared by Caprice (@capriceofficial) on
Permohonan maaf daripada Caprice itu menerima pelbagai reaksi daripada warganet. Ada yang menyokong dan tidak kurang ada juga menyelarnya.
Tidak dinafikan, manusia sememangnya tidak lari daripada berbuat kesilapan. Namun begitu, bukankah lebih baik sekiranya kita fikir dahulu sebelum mengeluarkan sesuatu kenyataan? Lagi-lagi sekiranya apa yang bakal dibicarakan itu boleh mengguris hati orang ramai.
Semoga apa yang berlaku ini dapat dijadikan iktibar buat Caprice dan orang ramai.