Kerana Mulut Biadap Warganet, Permaisuri Agong Nyahaktif Akaun Twitter?

Pada masa kini, ramai yang menganggap Internet sebagai tempat negatif dan pada hari-hari yang gelap dan suram di dunia siber ini, kita sering beralih kepada tweet yang lebih ‘ringan’.

Kemunculan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di laman Twitter menerusi akaun @cheminahsayang sebelum ini berjaya mencuri perhatian warganet.

Baginda yang terkenal dengan sifatnya yang ramah dan berjiwa rakyat itu sering berkongsi sesuatu perkara dari sudut pandangannya sendiri sebagai Permaisuri Agong. Akaun media sosial itu juga digunakan bagi berinteraksi dengan rakyat selain berkongsi momen-momen indah baginda.

Pendekatan yang dilakukan oleh Tuanku Permaisuri Agong itu dipuji oleh rata-rata warganet sehingga sebahagian besar daripadanya menjadi tular.

Namun begitu, semakan kami di laman Twitter sebentar tadi mendapati bahawa akaun rasmi milik Tuanku Permaisuri Agong tidak ditemui dan seolah-olah telah dinyahaktif. Rata-rata warganet menyatakan rasa sedih mereka terhadap ketiadaan akaun media sosial Tuanku itu.

Difahamkan, Tuanku Permaisuri Agong memilih untuk berbuat demikian kerana ada segelintir rakyat yang telah bertindak membuli baginda secara siber.

Salah seorang pengguna laman sosial berkenaan telah mencoret satu dakwaan yang menyifatkan tindakan baginda untuk mendekatkan diri dengan rakyat menerusi platform tersebut sebagai sesuatu yang merimaskan dan cuma ‘PR move’ semata-mata.

Tidak cukup dengan itu, seorang lagi pengguna Twitter menyifatkan penggunaan perkataan ‘sembah’ terhadap baginda seolah-olah menyembah berhala. Malah, individu tersebut juga mencoret bahawa dia tidak mahu duitnya habis semata-mata untuk memberi makan kepada raja-raja.

Tindakan tersebut sememangnya tidak wajar kerana secara tidak langsung, mereka juga telah menghina institusi diraja.

Dalam bait-bait lagu Negaraku yang kita nyanyi sejak di bangku sekolah lagi ada menyebut, “Raja kita selamat bertakhta.” Malah, kesetian kepada raja dan negara merupakan prinsip kedua dalam Rukun Negara. Ia bermaksud setiap warganegara wajib menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Seorang pengguna Facebook iaitu Muhamad Fazrin ada berkongsi pendapat dan pesanan berhubung isu ini. Berikut kami kongsikan perkongsian beliau:

Pertama, KDYMM Tuanku Agong dan isteri bukanlah berhala untuk disembah. Mereka adalah ketua agama Islam dan setiap perkataan ‘sembah’ dalam istana itu adalah bahasa dan protokol mereka. Bukan maknanya sama seperti konteks kita menyembah Tuhan. Sebab itu suatu ketika dahulu waktu cikgu bahasa Melayu ajar tentang bahasa istana, jangan ponteng atau tidur. Fokus dan fahami apa yang diajarkan.

Kedua, kita juga maklum raja-raja yang wujud hari ini mempunyai perniagaan mereka sendiri. KDYMM Tuanku Agong juga begitu. Baginda ada mata pencarian sendiri untuk membesarkan anak-anak dan memberi nafkah kepada isteri. Bukan mengharapkan setiap sen duit rakyat untuk dibelanjakan dalam setiap santapan mereka. Raja-raja hari ini pun berpendidikan. Tak ada masa untuk kikis duit rakyat sama seperti apa yang politikus-politikus lakukan (kita harus terima yang politikus lebih bermasalah).

Jadi, kepada warga maya, kurangkan kebiadaban anda. Buli siber itu salah. Kalau sampai Tuanku Permaisuri Agong pun tutup akaun Twitternya dek dibuli sebegini rupa, adakah perkara ini satu perkara yang tidak serius dan wajar dipandang enteng?

Jawapannya, tidak. Negara kita ada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan juga punya akta yang melibatkan perihal buli siber. Apatah lagi yang dibuli itu adalah isteri kepada pemerintah tertinggi negara.

Sejak dari dulu sudah dipesan, fikir dulu sebelum menulis. Lebih-lebih lagi di dunia maya. Sekali tulisan kita tersebar, kalau ia buruk, sampai bila-bila reputasi kita akan rosak.

Kesimpulannya, kita kena berhati-hati dalam setiap apa yang kita tulis, kongsi dan juga katakan. Tanpa kita sedar, setiap kata-kata kita itu mampu melukakan hati orang lain.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca