Kerana ‘Majistret’ Suraya, Peniaga Pasar Malam Ini Rugi RM12,500

Seorang peniaga pasar malam telah kehilangan wang simpanan berjumlah RM12,500 selepas menerima panggilan daripada seorang ‘majistret’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 45 tahun mendakwa ‘majistret’ bernama Suraya yang kononnya berkhidmat di Terengganu menghubunginya pada jam 3 petang, Khamis lalu.

‘Majistret’ itu mendakwa mangsa mempunyai kes tunggakan kad kredit berjumlah RM10,000 di mahkamahnya dan perlu membuat bayaran jika mahu menyelesaikan kes tersebut dengan segera.

“Selang beberapa jam kemudian, suspek sekali lagi menghubungi mangsa bagi memberi arahan untuk ke bank berhampiran bagi mendepositkan wang sebanyak RM2,500.”

“Mangsa kemudiannya diarahkan untuk menunggu panggilan pada hari Jumaat di mana suspek sekali lagi memberi arahan melalui telefon untuk memasukkan duit ke dalam akaun yang diberikan,” katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa mula curiga apabila ‘majistret’ itu terus memutuskan panggilan setelah transaksi perbankan tamat menyebabkan dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda jika disabit kesalahan.

Artikel Lain Untuk Di Baca